Ahmad Maslan

BANGI – Kerajaan menyasarkan untuk membina tambahan 100 poin pengecas kenderaan elektrik (EV) di lebuhraya bertol menjelang tahun 2025.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ia bagi memenuhi keperluan terhadap poin pengecas EV yang semakin tinggi buat masa ini.

“Dalam masa setahun setengah lagi kita berharap dapat tambah lagi 100 stesen pengecas kenderaan elektrik di mana sasaran asal adalah 100 sahaja pada 2025.

“Tapi melihat kepada trend sekarang, ia akan bertambah dan capai 160 stesen pengecas kenderaan elektrik kerana kita terima banyak permohonan,” katanya dalam sidang media selepas melawat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah LLM, Sazali Harun.

Dalam pada itu, Ahmad berkata sasaran itu adalah cabaran baharu kepada kerajaan bagi memastikan keperluan kepada pengguna EV dapat direalisasikan dalam memberikan keselesaan kepada masyarakat.

“Itu sebahagiannya telah dilaksanakan tetapi bagaimana kita mahu berikan keselesaan kepada pengguna di 33 lebuh raya bertol itu adalah merupakan cabaran kepada LLM untuk masa hadapan.

“Saya kira dengan perbincangan bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan syarikat konsesi, kita boleh dapat misalnya konsep baharu R&R, perinciannya akan kita umum dari semasa ke semasa,” kata Ahmad lagi.

Untuk rekod, terdapat 60 poin pengecasan EV di Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur iaitu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan beberapa stesen minyak di lebuh raya antaranya di R&R Ayer Keroh Arah Utara (PLUS), R&R Seremban Arah Utara (PLUS) dan R&R Paka Arah Utara (LPT) yang dikendalikan oleh operator poin pengecas (charging point operators) seperti TNB Electron dan Gentari. – MalaysiaGazette