Antara 500 mangsa skim pelaburan yang tidak sah sebelum menyerahkan surat makluman dan aduan kepada Pusat Pencegahan Jenayan Kewangan Nasional (NFCC) berkenaan syarikat pelaburan yang melakukan jenayah penipuan terancang dan jenayah pecah amanah ketika di Menara Sri Wilayah, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 DISEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) merayu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan menyelesaikan kes sindiket penipuan pelaburan.

Ini kerana lebih 500 mangsa sudah mula tampil membuat aduan berkaitan skim pelaburan ditawarkan oleh tiga syarikat  yang akhirnya didapati satu penipuan yang mencecah kerugian lebih RM197 juta. 

Lebih mengejutkan walaupun begitu banyak aduan termasuklah kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) namun tidak ada apa-apa malah ada kes dianggap Tiada Tindakan Lanjut atau NFA.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, di antara konsep pelaburan yang ditawarkan bagi memikat hati pelabur termasuklah pelaburan tebus islamik (RPS-i) yang menjanjikan langgan produk Islamik Sukuk.

Beliau mendedahkan, ada juga pelaburan produk Islamik Murhaba serta perjanjian langganan saham berkonsepkan wang amanah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bercakap kepada media sebelum menyerahkan surat makluman dan aduan skim pelaburan yang tidak sah kepada Pusat Pencegahan Jenayan Kewangan Nasional (NFCC) berkenaan syarikat pelaburan yang melakukan jenayah penipuan terancang dan jenayah pecah amanah terhadap 500 mangsa yang membuat aduan ketika di Menara Sri Wilayah, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 DISEMBER 2023.

“Pihak syarikat juga akan meyakinkan pelabur dengan melantik syarikat yang akan bertindak sebagai pemegang amanah sebelum menggunakan duit pelaburan diterima itu untuk dilaburkan.

“Hakikat sebenarnya, setiap apa yang ditawarkan itu tidak sah daripada segi undang-undang malah syarikat-syarikat ini seperti kebal kerana tidak patuh apa-apa diperuntukan oleh kerajaan Malaysia.

“Kita ada undang-undang, kita juga ada SSM dan SC yang ada garis panduan bagaimana untuk syarikat boleh terima wang pelaburan dan dana awam.

“Bukan sahaja syarikat-syarikat ini tidak ikut sebaliknya juga bertindak menjanjikan pelbagai pulangan dan dividen besar tidak masuk akal sehingga enam peratus sebulan, nampak sangat ia untuk memperdayakan para pelabur kita,” katanya kepada media selepas serahan memorandum kepada NFCC di sini hari ini.

Tambah Hishamuddin, kes penipuan ini sudah berlarutan sejak 2021 namun semuanya masih lagi sepi.

Menurutnya, masalah mula timbul apabila para pelabur itu tidak menerima bayaran dividen seperti yang dijanjikan oleh syarikat-syarikat tersebut.

Lebih teruk apabila pihak atasan syarikat ‘menghilangkan diri’ dan enggan menjawab telefon atau bercakap dengan mana-mana pelabur dan akhirnya menyedari mereka telah diperdayakan.

“Baru-baru ini pengadu-pengadu ini telah dimaklumkan oleh SSM bahawa aduan mereka telah dilengkapkan sebelum dihantar ke Timbalan Pendakwaraya bagi tindakan lanjut.

“Lapan bulan lepas itu juga, kumpulan pengadu ini telah menyerahkan penyataan tambahan kepada pegawai penyiasat JSJK dan hari ini MHO bersama mangsa-mangsa telah hadir untuk serahkan surat aduan kepada NFCC.

“Sehingga saat ini, belum ada apa-apa perkembangan ataupun sebarang pendakwaan ke atas syarikat-syarikat yang terang lagi bersuluh bukan sahaja memperdayakan mangsa menggunakan konsep pelaburan Islamik sebaliknya juga tidak patuh apa-apa undang-undang yang termaktub. Mohon sesuatu dilakukan,” tegasnya. -MalaysiaGazette