Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa menghadiri sesi taklimat DBKL di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 19 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi meneliti cadangan mengembalikan semula pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

Jelasnya, terdapat perkara yang lebih penting untuk dilaksanakan buat masa ini namun beliau memahami mengenai kepentingan mengadakan semula pilihan raya berkenaan.

“Saya tidak menolak pilihan raya PBT ini adalah penting namun jika kita lihat, ia sebenarnya berada di bawah (bidang kuasa) KPKT.

“Apa pun saya akan berbincang dengan menteri bagaimana perkara ini perlu dilihat dan diteliti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Datang dan Sesi Taklimat DBKL, hari ini.

Ahad lalu, DAP menerusi konvensyen parti itu peringkat Wilayah Persekutuan menggesa supaya kerajaan  mengembalikan semula pilihan raya PBT d di peringkat bandar raya tersebut.

Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai, berkata cadangan berkenaan bagi memperkukuh demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Ujarnya, mengembalikan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur akan membawa kepada ibu negara yang mampan, mengamalkan tadbir urus cekap, bersih dan bertunjangkan rakyat.-MalaysiaGazette