Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Kes-kes jenayah komersil di alam maya atau digital di ibu negara membimbangkan kerana  penjenayah tahu mereka sukar dikesan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, walaupun keadaan jenayah itu terkawal dengan sekadar satu dua kes, namun jenayah ini masih berterusan.

“Dulu kes jenayah pecah rumah sebagainya, sekarang beralih kepada jenayah komersil sebab peluang untuk dikesan dan ditangkap lebih sukar berbanding secara fizikal,” katanya dalam sidang media yang diadakan hari ini.

Beliau berkata demikian di Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur pagi tadi.

Bagaimanapun katanya, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar ibu negara pada masa ini menjadi ‘mata’ membantu polis menyelesaikan banyak kes jenayah.

“Ia secara tidak langsung mengurangkan kadar indeks jenayah di sekitar ibu negara sebanyak 10 peratus berbanding tahun lalu dan sehingga 40 peratus jika dibandingkan tahun 2019 (pra Covid-19),” katanya lagi.

Sementara itu, jelasnya kadar pertuduhan hampir 70 peratus dan polis berharap mencapai lebih daripada 70 peratus dalam dua minggu akan datang, lebih tinggi daripada Indeks Pencapaian Utama (KPI) 45 peratus yang ditetapkan.

Allaudeen menambah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPK Kuala Lumpur telah melakukan sebanyak 1,609 serbuan bagi jenayah siber dan multimedia dan sebanyak 1,222 serbuan bagi lain-lain operasi.

“Sebanyak 87 kertas siasatan telah dibuka membabitkan tangkapan seramai 1066 orang susulan daripada tangkapan pusat panggilan untuk tempoh Januari hingga November 2023,” tegasnya. – MalaysiaGazette