Caprice

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan aktivis sosial Caprice diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi Kuala Lumpur esok.

Caprice memaklumkan perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya di mana sepatutnya dia dipanggil petang ini.

Menurut Caprice atau Ariz Ramli, 35, arahan itu susulan tindakannya memuat naik video reaksi berhubung insiden seorang pelajar maut dilanggar pada 15 Disember lalu melibatkan seorang pegawai kanan polis.

“Salam guys, Cap (panggilan Caprice) dipanggil untuk pergi ke IPD Dang Wangi pada pukul 2 petang tentang video viral di TikTok berkenaan mamat polis yang langgar budak sekolah,” katanya.

Sebelum ini, Caprice memuat naik sebuah video tentang insiden tersebut dan menggelar anggota polis berkenaan menggunakan kata-kata kesat.

“Seorang yang ada uniform biru, yang patut jaga keselamatan kita akhirnya menjadi seorang p****k dan bunuh budak sekolah,” katanya.

Bagaimanapun Caprice menjelaskan video berkenaan sudah pun dipadam selepas ia dianggap melanggar garis panduan kandungan di media sosial.

Foto Instagram.

Sebelum ini, mangsa, Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, maut selepas didakwa dilanggar seorang pegawai kanan polis berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh, Perak.

Sebelum kejadian, konflik tercetus antara mangsa dan suspek susulan tindakan remaja tersebut membuat bunyi bising menggunakan ekzos motosikalnya.

Hasil bedah siasat mendapati allahyarham meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian dada dan abdomen.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Luar, Ipoh.

Sementara itu, pegawai polis kanan tersebut, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang berpangkat Deputi Superintendan dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin lalu atas tuduhan membunuh.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mahkamah menetapkan 7 Februari 2024 bagi sebutan semula kes. – MalaysiaGazette