Orang ramai mengambil bekalan mata air di Masjid Jamek Kampung Binjai, Bayan Lepas susulan gangguan bekalan air di daerah Barat Daya.

BAYAN LEPAS – “Saya tak ada pilihan kecuali menginap di hotel susulan bekalan air di rumah terputus hampir 36 jam sehingga menjejaskan aktiviti harian kami tujuh sekeluarga.”

Itu luahan Noor Hasliza Hashim, 40, yang menetap di Solok Rajawali di sini selepas perumahan teres di kawasannya dalam daerah Barat Daya antara kawasan yang mengalami gangguan bekalan air susulan kerja bagi membaiki saluran paip di dasar Sungai Perai dilaksanakan sejak 19 Disember lalu itu dilaporkan bocor semula.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, susulan itu, dia membeli satu tong khas yang boleh mengisi 200 liter air namun kapasitinya tidak mampu menampung kegunaan mereka sekeluarga kerana bekalan air belaku lebih daripada tempoh yang dimaklumkan.

Orang ramai turut mendapatkan bekalan air mineral di pasaraya.

“Bayangkan sekarang musim panas dan dan cuti sekolah mesti anak-anak akan mandi lebih daripada sekali itu belum kira mereka buang air kecil dan besar. Itu belum lagi ambil kira penggunaan air untuk masak dan lain-lain.

“Kami cuba jimat air seboleh mungkin namun situasi bertukar genting apabila gangguan bekalan sebenarnya hampir 36 jam di kawasan perumahan saya hingga mengakibat kami terpaksa mencari jalan alternatif lain iaitu menginap di hotel.

“Saya faham gangguan bekalan ini berlaku disebabkan paip bocor namun pihak berwajib sepatutnya bantu sediakan lori tangki bukan biarkan ia berlarutan hingga menyukarkan operasi harian penduduk,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Najib.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di Masjid Jamek Kampung Binjai di sini juga mendapati orang ramai terpaksa mendapatkan sumber mata air bagi penggunaan mereka susulan gangguan bekalan air dilanjutkan sehingga pukul 8 pagi esok.

Menurut tok siak masjid berkenaan, Najib Darbi, 57, ratusan penduduk tidak berhenti datang mengambil bekalan air di masjid berkenaan sejak malam tadi.

“Jumlah itu bertambah petang tadi selepas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang memaklumkan lanjutan tempoh gangguan disebabkan paip yang dikimpal bocor semula.

“Sesiapa saja boleh datang ambil air di sini (masjid)  kita benarkan tanpa mengira bangsa malah kita juga tidak menutup pintu pagar bagi membolehkan air diambil pada bila-bila masa,” katanya.

Menurutnya, selain mata air itu bersih – penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) pernah menyatakan mata air itu berada dalam kategori kelas satu.

Zakaria.

Dalam perkembangan sama, penduduk, Zakaria Arshad, 62,  terpaksa berulang-alik lebih 10 kali untuk mengambil bekalan air di masjid tersebut disebabkan tempoh gangguan dilanjutkan.

“Awal tadi saya ambil air dalam botol minuman untuk kegunaan sementara dengan harapan gangguan akan pulih pukul 1 tengah hari seperti dimaklumkan PBAPP.

“Namun apabila tempoh gangguan dilanjutkan anak saya terpaksa membeli bekas simpan berkapasiti besar kerana tiada setitik air langsung untuk kegunaan di bilik air termasuk bagi mengambil wuduk,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saluran paip bocor semula, PBAPP nasihat pengguna simpan air