KUANTAN – Pengunjung yang datang ke Menara 188 di sini kini berpeluang menikmati kisah seram dan misteri di ruang bacaannya.
Mana tidaknya kini 107 buah buku genre seram boleh dibaca secara percuma dalam tempoh cuti sekolah kini sehingga 1 Januari 2024.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Sultan Ahmad Shah (PPASAS), Nor Zahira Muhammad Azmi berkata, kolaborasi bersama Menara 188 itu sebagai langkah menarik minat membaca dalam kalangan pengunjungnya.
”Inisiatif edu-tourism terbabit sebagai satu tarikan baharu disamping menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
“Kita pilih genre kisah seram dan misteri itu kerana ia menjadi daya tarikan kerana berunsurkan kejutan malah ia mempunyai peminatnya tersendiri.
“Jadi, kita harap ia dapat membantu menggalakan minat membaca dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum itu, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) diadakan di sini hari ini.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Nor Zahira manakala Kuantan 188 diwakili pengurus besarnya, Khalisa Azman.
Nor Zahira memaklumkan, program membaca merupakan antara langkah awal bersama PPASAS yang turut merancang pelbagai agenda untuk jangka masa panjang.
“Kita nak menggalakkan anak-anak membaca di musim cuti sekolah ini. Di samping kita bercuti ada ilmunya yang diperoleh.
”Bahan bacaan ini terbuka kepada semua pengunjung pelbagai lapisan masyarakat, itulah yang kita nak dalam edu-tourism ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette