SKOP MG bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan tempoh setahun Kerajaan Madani hanya dipenuhi dengan berpolitik.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu dapat dilihat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa sering mengungkapkan isu-isu politik sehingga ke dalam Dewan Rakyat.

“Dalam Dewan pun cakap ada numbers, cukup majoriti, tebuk atap dan macam-macam lagi. Itu belum saya katakan ada banyak gelaran atau nama-nama yang rakyat gelar pada beliau.

“Sepatutnya dah jadi kerajaan buat kerja bantu rakyat, bukan lagi berpolitik macam zaman beliau Ketua Pembangkang.

“Jawatan itu saya yang pegang sekarang tapi yang lebih-lebih adalah perdana menteri,” katanya ketika ditemubual menerusi program SKOP MG.

Dengan tajuk ‘Kerajaan Jangan Tekan Pembangkang’, Hamzah berkata, tempoh setahun bukanlah sekejap dan seharusnya banyak perkara dapat dilaksanakan dengan baik.

“Macam mana kata sekejap? Satu per lima penggal, bermakna 20 peratus sepatutnya ada perkara baharu boleh dibuat. Cakap tu biarlah dengan fakta.

“Saya pelik, bila beliau (Anwar) kata ada pelabur sedangkan baru ada perjumpaan. Akhirnya pelabur tu tak masuk Malaysia tapi pergi ke Vietnam,” katanya lagi.

Hamzah turut mengecam cara pentadbiran Anwar yang dilihatnya begitu lemah.

“Lihat sahaja rombakan Kabinet sekarang, menteri yang tidak boleh buat kerja tidak ditukar malah ditambah lagi kementerian.
Ini memperlihatkan saiz Kabinet bertukar dan berlaku pembaziran.

“Dulu kata zaman PN ramai menteri, sekarang apa dah jadi?” soalnya.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, tindakan Anwar yang sering bertelagah membuatkan rakyat bosan dan menyampah.

“Bayangkan perdana menteri boleh bergaduh dengan menteri besar. Siapa boleh terima macam tu? Sepatutnya dah galas jawatan tertinggi, buat kerja dan tak perlu layan isu-isu politik, ini tidak.

“Rakyat memerhati dan ini memberi impak negatif padanya,” katanya lagi.

Ketika ditanya bagaimana peranan pembangkang sebagai semak dan imbang kerajaan, Hamzah berkata, PN akan terus bersuara bagi menegur mana-mana kesilapan yang dilakukan.

“Kami akan teruskan tugas kami, cuma bukan memberi idea. Mencari solusi itu tugas mereka sebagai kerajaan, jangan tanya kami.

“Kalau tak boleh buat, serah pada kami untuk mentadbir,” katanya.- MalaysiaGazette

3 Komen

Comments are closed.