Tiga suspek (rambut perang) ditahan reman selama empat hari bermula hari ini kerana bersubahat menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun pada 12 Disember lalu.

JOHOR BAHRU – Tiga suspek yang diburu polis kerana bersubahat untuk menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di bandar raya ini pada 12 Disember lalu berjaya ditahan semalam.

Mereka dikenakan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di Pontian, kira-kira pukul 5.40 petang.

Suspek utama penculikan tersebut merupakan seorang mekanik kenderaan berusia 41 tahun.

“Dia merupakan rakan kongsi perniagaan kepada bapa kanak-kanak yang diculik, tujuan penculikan itu adalah bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM300,000.

“Bagaimanapun cubaan itu gagal apabila bapa mangsa, seorang warga China yang mempunyai taraf penduduk tetap Singapura berjaya menghalang suspek daripada melakukannya.

“Bapa mangsa bagaimanapun mengalami kecederaan parah khususnya di bahagian muka akibat insiden itu,” katanya dalam  kenyataan hari ini.

Raub berkata, suspek utama telah didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, kelmarin mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Semalam media melaporkan bapa kanak-kanak tersebut bertindak mengejar kenderaan dinaiki suspek yang menculik anaknya sebelum merempuh kenderaan itu menggunakan kenderaannya menyebabkannya mengalami kecederaan.-MalaysiaGazette