Mohamad Hasan

PUTRAJAYA – Tindakan Malaysia menghalang kapal berkaitan Israel daripada berlabuh di Malaysia tidak menjejaskan hubungan dengan negara lain termasuk sekutu zionis.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan tegas itu bukan bermaksud Malaysia tidak menghargai hubungan dengan negara lain.

“Kita tidak melihat kepada terjejasnya hubungan kita dengan negara lain. Topik kita ialah tidak membenarkan kapal-kapal yang menggunakan bendera Israel berlabuh di pelabuhan Malaysia.

“Kita tidak akan benarkan sebarang kapal dari negara-negara lain bawa barang ke Israel. Itu jelas. Kita punya pendirian tetap.

“Kita tidak mengatakan kita tidak menghargai hubungan dengan negara lain tetapi disebabkan oleh ketetapan pendirian Malaysia berkenaan keadaan di Gaza dan Timur Tengah ketika ini,” kata Mohamad.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Wisma Putra hari ini selepas menghadiri sesi taklimat bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Luar.

Mohamad tiba di Wisma Putra kira-kira pukul 9.40 pagi dan kali pertama menjejakkan kaki ke pejabat beliau selepas dilantik dalam rombakan Kabinet yang berlangsung pada 12 Disember lalu.

Sebaik dilantik beliau mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Ulang Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun baru-baru ini.

Menurut Mohamad, dasar negara terhadap Palestin tidak berubah walaupun berlaku pertukaran menteri di Kementerian Luar.

“Kita menjadi negara yang aktif sejak daripada dulu memperjuangkan isu Palestin. Ini akan terus kita lakukan di pentas dunia yang ada berkenaan Palestin.

“Tidak timbul soal saya datang ke Wisma Putra akan ada perubahan pendirian negara. Pendirian negara akan tetap seperti apa yang kita nyatakan. Pendirian Malaysia difahami oleh seluruh masyarakat antarabangsa,” tegas beliau.

Dua hari lalu Anwar mengarahkan supaya Syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM kini dilarang daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Sekatan tersebut adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.- MalaysiaGazette