KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor (IP) Oktober 2023 mengekalkan pertumbuhan tahunannya pada kadar negatif 0.2 peratus dengan mencatatkan 109.2 mata berbanding 109.4 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Indeks Pelopor (IP) memberi petunjuk awal tentang titik perubahan yang ketara dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi bagi tempoh terdekat.

Penurunan ini disebabkan oleh penguncupan dalam import benar semi konduktor (-33.6%), yang menyaksikan prestasi negatif selama 10 bulan berturut-turut, kata Ketua Perangkawaan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Sebaliknya, terdapat peningkatan dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (40.0%) dan bilangan syarikat baharu didaftar (23.4%).

Melihat kepada prestasi bulanan, IP menyusut kepada negatif 0.2 peratus berbanding negatif 0.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Prestasi yang lebih baik ini didorong oleh Import benar logam asas berharga & logam bukan ferus lain (0.5%) dan bilangan syarikat baharu didaftar (0.3%).

Namun begitu, penyusutan dalam import benar semikonduktor (-1.0%) memberi kesan kepada pertumbuhan keseluruhan.

Kadar pertumbuhan IP terlicin bagi Oktober 2023 kekal di bawah trend 100.0 mata, menjangkakan prospek pertumbuhan yang sederhana, disokong oleh penggunaan swasta yang mampan dan landskap pasaran buruh yang memberangsangkan.

Berhubung keadaan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mengekalkan pertumbuhan positifnya sejak September 2021 dengan mencatatkan 124.1 mata, meningkat 2.9 peratus berbanding 120.6 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Prestasi ini disumbangkan oleh kesemua komponen terutamanya nilai caruman benar, KWSP (17.1%).

Pada masa yang sama, perubahan bulanan IS mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus, disokong oleh semua komponen kecuali Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (-0.3%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast