Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar, makan tengahari di kedai makan Nasi Ayam Warisan KD, Damansara. Foto NUR SYADILA AMARI, 22 DISEMBER 2023.

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu kerajaan dikaitkan dengan sebarang bentuk muslihat berhubung siasatan rasuah yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan individu ternama.

Sebaliknya, perdana menteri menegaskan, tindakan oleh badan penguatkuasa undang-undang itu membuktikan komitmen mereka dalam membanetras rasuah itu tanpa mengira latar belakang individu atau dipengaruhi pihak tertentu.

“SPRM menjalankan tugas dia dan tidak mengira kedudukan sama ada dia tun, tan sri. Kalau tidak, ia kritikannya apa? Ikan kecil ini ditangkap, yang kepala-kepala tak boleh disentuh.

“Bila sentuh, masih ada yang pertahankan dan gunakan pengaruh, media terutama media sosial. Biarkan siasatan dibuat,” katanya kepada media selepas solat Jumaat di Masjid Kota Damansara di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan sitaan oleh SPRM ke atas Menara Ilham di Jalan Binjai, di sini, apabila dikatakan milik keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Notis penyitaan bangunan 60 tingkat itu bertarikh 18 Disember lalu disiarkan hari ini melalui ruangan pemberitahuan sebuah portal berita, dengan ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, isu kekayaan yang dikaitkan dengan pemimpin tertentu itu bukanlah satu perkara baru.

“Dia bukan rahsia umum. Seorang yang memunggah kekayaan begitu besar. Biarlah ada siasatan supaya pemimpin jangan dilihat sebagai melindungi perasuah besar.

“Jadi, itulah tanggungjawab SPRM jalankan tugas siasatan dan jangan buat tafsiran. Setiap kali kita sentuh ‘orang besar’, maknanya ada muslihat. Kalau orang kecil yang kita sentuh, tidak ada apa-apa. Jadi, sistem apa begitu?” ujarnya.

Menurut Anwar lagi, tindakan siasatan dilaksana badan penguat kuasa itu mesti menunjukkan contoh keberanian, khususnya dalam mengambil tindakan terhadap perasuah besar.

“Kita bukan mewakili satu sistem yang bobrok. Sistem kita mesti menunjukkan contoh keberanian untuk bertindak kepada perasuah besar.

“Apakah ia benar atau tidak, biarlah proses dijalankan dan kemudiannya badan kehakiman memutuskan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast