KUALA LUMPUR – Seorang penunggang maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori penunda di Kuala Kubu Bharu pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, insiden itu berlaku di Jalan Kuala Kubu Bharu-Rasa berhampiran Palang Sari di Hulu Selangor.
Katanya, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan mengenai nahas tersebut sekitar jam 8.46 pagi tadi.
“Bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota dengan sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu telah bergegas ke lokasi kejadian tersebut.
“Setiba di lokasi, kami mendapati seorang penunggang motosikal tercampak di bahu jalan selepas motosikalnya disyaki bertembung dengan lori tunda tersebut.
“Manakala pemandu lori berusia 30-an tersepit di tempat duduk hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Penunggang motosikal berusia 20-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan
Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk dihantar ke hospital berhampiran,” tambahnya. – MalaysiaGazette