Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpanan SSPN 2023 di Sunway Pyramid Mall, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 1 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Masyarakat Malaysia diseru segera membuat simpanan dalam Simpan SSPN sebelum 31 Disember ini untuk menikmati insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun bagi tahun taksiran 2023.

Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang menawarkan manfaat pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih tahun semasa
sehingga RM8,000 setahun.

Ibu bapa sebagai pendeposit Simpan SSPN layak mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun setiap seorang sekiranya membuat taksiran cukai secara berasingan.

Manakala, ibu bapa sebagai pendeposit yang membuat taksiran cukai bersama layak mendapatkan pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun untuk satu
pasangan.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan kerana telah melanjutkan insentif pelepasan taksiran cukai ini kepada pendeposit Simpan SSPN sehingga tahun taksiran 2024.

Selain itu, PTPTN turut mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 yang akan berakhir pada 31 Disember 2023.

Hadiah yang ditawarkan amat lumayan iaitu hadiah tunai hampir RM500,000 untuk 138 orang pemenang sebagai tanda penghargaan kepada pendeposit Simpan SSPN dan menggalakkan penabungan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Sehingga 30 November 2023, jumlah deposit Simpan SSPN adalah sebanyak RM16.38 bilion dengan sebanyak 6.18 juta akaun direkodkan. – MalaysiaGazette