PENAMPANG – Polis sedang menyiasat kematian seorang lelaki warga asing berumur 29 tahun yang disyaki dibunuh dalam satu pergaduhan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata polis menerima aduan awam pada pagi ini mengenai satu kejadian pergaduhan melibatkan beberapa individu lelaki menggunakan parang di Jalan Penampang-Kota Kinabalu.
Beliau berkata siasatan polis di tempat kejadian mendapati seorang lelaki warga asing terbaring atas jalan dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kesan tetakan dan tikaman pada tubuh badan mangsa.
Sammy berkata mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth.
“Kes masih dalam siasatan pihak polis dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Polis menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar di tempat kejadian dan memuat naik atau menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih di media sosial yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam. – BERNAMA