KLANG – Datuk Seri Mohamad Sabu sekali lagi dipilih sebagai Presiden Amanah bagi sesi 2023 hingga 2026 selepas 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang baharu memilih beliau hari ini.
Mohamad yang mendapat kedudukan kelapan daripada 27 yang dipilih oleh 1, 008 perwakilan mengakui beliau bukan pemimpin popular dalam parti tersebut.
“Pada pemilihan yang pertama, saya bukan menjadi calon yang dipilih dan popular. Saya di tempat ketujuh tetapi seperti biasa majlis syura melihat kelemahan saya dan ada kekuatan satu segi. Mereka minta saya terus memimpin tiga penggal lalu.
“Bila jadi menteri dan pemimpin banyak melakukan kelemahan dan kesesilapan. Saya tahun ini tak jadi pilihan nombor satu sebaliknya nombor lapan.
“Di mesyuarat tadi pelbagai pandangan dan kelemahan saya dinyatakan secara terus. Saya dan (Datuk Seri) Mujahid (Yusof Rawa) saya tak cakap apa. Dengan segala kelemahan ini saya akan memimpin bersama rakan-rakan,” katanya dalam ucapan pengulungan selepas diisytiharkan kekal sebagai Presiden Amanah.
Dalam pemilihan hari ini, Mohamad mendapat 613 undi daripada lebih 1008 perwakilan yang memilih.
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad merupakan pemimpin yang paling popular dengan mendapat 100 undi.
Seramai 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang baharu termasuk beliau bermesyuarat lebih dua jam bagi memilih presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden Amanah yang baharu.
Mujahid yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Buntar pula dipilih sebagai Timbalan Presiden Amanah manakala Dr. Dzulkefly, Dr. Siti Mariah Mahmud dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Adly Zahari dipilih sebagai naib presiden.
Dalam pada itu, Mohamad berhasrat tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan yang akan berlangsung pada 2026.
Justeru beliau mengingatkan kepimpinan yang akan datang untuk terus mempertahankan gabungan Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada PKR, DAP, BN dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
“Saya ulang kekuatan Amanah bergantung kepada gabungan, penting hubungan dengan Keadilan, DAP hubungan dengan BN dan parti Sabah dan Sarawak. Oleh itu pimpinan yang mewarisi sehingga pilihan raya perlu kuatkan gabungan ini.
“Sebarang keretakan akan membawa padah kepada Amanah sebab itu gambungan ini perlu dikuatkan.
“Sudah tentu presiden parti adalah orang lain bukan ‘Bang Mat’ dapat bekerja sebaik mungkin, untuk lebar pengaruh Islam, rahmat semua,” katanya. – MalaysiaGazette