bekas Menteri Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) , Datuk Zuraida Kamaruddin dalam sidang media khas Isu Pemansuhan Kampung Setia Jaya.

KUALA LUMPUR – Isu tanah Kampung Setia Jaya di sini perlu diadakan perbincangan meja bulat secara bersemuka antara Menteri Wilayah Persekutuan, Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR), Pejabat Tanah dan Galian (PTG ) serta wakil penduduk.

Itu cadangan bekas Menteri Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) , Datuk Zuraida Kamaruddin selepas keputusan Mahkamah Tinggi tidak memihak kepada penduduk di kampung berkenaan.

Beliau berkata, tanah yang berkeluasan 60 ekar itu kini menjadi milik KTAR adalah tanah anugerah dan sepatutnya mereka boleh memberi lima ekar kepada penduduk sebagai jalan penyelesaian.

“Pada hari ini, kes Kampung Setia Jaya adalah tanah anugerah, tanah free, bukan dia beli dan saya tidak tahu bila dia orang (KTAR) beli tanah ini.

“Bila mereka dapat anugerah tanah ini pun kita tidak tahu bila. Jadi siapa yang terlibat dalam memberi penganugerahan ini?

“Mesti termasuk PTG, Kementerian Wilayah Persekutuan termasuk juga Datuk Bandar dan ini adalah tiga komponen yang terlibat dalam isu tanah ini. Tukang beri, tukang lulus dan tidak periksa maknanya dia tengok tanah itu atas peta kosong, tiada pembangunan.

“Sebagai bekas menteri KPKT, kita cadangkan untuk tiga komponen ini melibatkan Menteri WP, PTG, KTAR serta tukang luluskan tanah, dengan jawatankuasa penduduk mengadakan round table bincangkan kes ini,” katanya pada sidang media khas isu pemansuhan Kampung Setia Jaya di sini hari ini.

Zuraida Kamaruddin bersama penduduk Kampung Setia Jaya, Kuala Lumpur hari ini.

Berdasarkan perbincangan antara penduduk dan KTAR sebelum ini, pemilik tanah itu hanya menawarkan pampasan sebanyak RM30,000 bagi diskaun pembelian rumah termasuk RM10,000 bagi tujuan perpindahan.

Manakala penduduk yang enggan menerima syarat pertama hanya akan diberikan pampasan bernilai RM30,000.

Bagaimanapun, penduduk yang ditemui mendesak agar KTAR memberi pampasan berbentuk rumah kediaman tanpa syarat selepas keputusan Mahkamah Tinggi tidak memihak kepada mereka pada 19 Disember lalu.

Zalipah Jaafar.

Generasi pertama kampung itu, Zalipah Jaafar, 65, berkata, tawaran yang diberi KTAR kepada penduduk tidak masuk akal kerana mereka sudah meneroka kawasan itu lebih 50 tahun sejak tahun 1970 lagi.

“Sebelum ini, kami telah memohon di PTG untuk minta geran tapi tidak boleh katanya tanah ini sudah berpenghuni. Apabila ditanya siapa pemilik tidak diberi tahu dan sampai sekarang kami tiada geran. KTAR yang dapat tanah ini bukan beli pun, mereka cuma bayar premium dan dapat anugerah daripada kerajaan.

“Apa yang saya harapkan sekarang pemimpin pada hari ini tolong selesaikan masalah kami, kami tidak akan berganjak walau apa pun berlaku, kami cuma nak rumah bukan duit. Kalau dapat RM 1 juta, esok boleh habis.

“Tidak semua orang dekat sini hidup senang, nak bayar sewa macama mana, tak semua juga warga emas dalam kampung ini berkemampuan,” rayunya.

Zainal Abidin Napi.

Sementara itu, Zainal Abidin Napi, 65, pula mahu isu itu segera diselesaikan kerana jika tidak ditangani sebaik-baiknya ia berisiko menjadi isu perkauman.

Malah beliau juga mendakwa, tawaran RM30,000 kepada penduduk pada masa ini juga tidak memadai kerana jumlah itu kecil jika dibandingkan projek pembangunan yang akan dinaikkan oleh pihak KTAR di kawasan berkenaan.

“Asalnya memang berpendapat tanah ini adalah hak kami, jadi kami pertahankan tetapi oleh kerana perbincangan itu susah, sekurang-kurangnya berikan kami sebuah rumah untuk seorang, itu keadilah yang kami tegakkan.

“Tidak boleh halau kami dengan duit hanya RM50,000 atau RM60,000 tidak memadai sekarang ini.

“Mana kami nak tinggal? Takkan kami nak balik kampung sedangkan sudah duduk sini hampir 50 tahun. Kalau nak kami berpindah, perlu beri sebuah rumah, pampasannya untuk penduduk kampung ini,” tegasnya.

Muhammad Syafiq Noor Sham

Pandangan sama turut disuarakan generasi ketiga, Muhammad Syafiq Noor Sham, 31, yang berpendapat, permintaan rumah itu adalah wajar dengan ‘penindasan’ yang didakwa dilakukan oleh KTAR terhadap penduduk.

Katanya, kediaman adalah perkara asas dalam kehidupan dan ia juga adalah tempat perlindungan sesebuah keluarga ditambah pula kesemua penduduk di situ telah menetap di kampung tersebut hampir setengah abad.

“Bagi saya, beri kami sebuah rumah itu sudah memadai dan kita tidak tamak. KIta juga tahu nilai tanah untuk buat rumah atau pembangunan di sini. Kita cuba buat mana yang mampu dan logik untuk menangkan situasi.

“Kalau rumah yang ditawarkan, saya rasa pecah rumah, ganti rumah sebab benda ini dah dibincangkan dengan KTAR seperti perjanjian pertama dulu tapi bila perjumpaan kali kedua bertukar pula dia punya penyelesaikan mahu tawar kami RM30,000 untuk subsidi kalau tidak mahu rumah dan keluar selepas itu,” ujarnya.

Pada 22 Disember lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memaklumkan akan mengaturkan perjumpaan bersama TARC Education Foundation dalam masa terdekat berhubung isu tanah Kampung Setia Jaya.

Beliau berkata, perjumpaan bersama TARC Education Foundation yang juga pemilik tanah Kampung Setia Jaya adalah bagi mencari titik tengah untuk menyelesaikan isu itu.

Kira-kira 500 penduduk Kampung Setia Jaya bakal kehilangan penempatan mereka selepas pemilik tanah yang juga sebuah institusi pendidikan tinggi menggunakan saluran mahkamah untuk arahan pengosongan tanah.

Mahkamah memerintahkan agar semua penduduk mengosongkan tanah itu dalam tempoh 18 bulan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Beri kediaman ganti kepada penduduk Kg Setia Jaya – Pas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast