Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Pas mencadangkan kepada kerajaan untuk menetapkan supaya pemaju yang membangunkan tanah di Kampung Setia Jaya di sini agar memberi kediaman ganti dalam kawasan Parlimen Wangsa Maju.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Wilayah, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, unit kediaman tersebut mesti mempunyai keluasan tidak kurang 750 kaki persegi dengan tiga bilik.

Selain itu, menurut beliau, anak-anak penduduk asal kampung berkenaan juga perlu ditawarkan unit kediaman dengan diskaun 50 peratus.

“Berdasarkan makluman oleh penduduk sendiri, tawaran pampasan mahu dibayar oleh pihak pemaju amatlah tidak munasabah dengan realiti semasa.

“Usahkan untuk diukur pengorbanan atau nilai kehidupan yang telah mereka lalui, malah untuk mendapat kediaman atau rumah ganti juga adalah mustahil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kira-kira 500 penduduk Kampung Setia Jaya bakal kehilangan tempat tinggal selepas pemilik tanah menggunakan saluran perundangan untuk mendapatkan arahan pengosongan.

Sebagai alternatif, Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mencadangkan kerajaan meminta pemaju memperuntukkan sebanyak tujuh ekar daripada 50 ekar yang bakal dimajukan untuk pembinaan 1,000 unit kediaman pangsapuri kos rendah.

“Sebanyak 500 unit diberi milik kepada penduduk terlibat dan 500 unit lagi boleh dijual,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa para pemimpin kerajaan dan pemimpin Melayu melihat isu pengambilan tanah Kampung Setia Jaya itu secara serius. – MalaysiaGazette