JOHOR BAHRU – Satu kematian direkodkan akibat jangkitan Covid-19 baharu pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-51 pada 17 hingga 23 Disember lalu di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, tiga lagi pesakit Covid-19 masih dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 123 pesakit dirawat di wad hospital.
Katanya, pola Covid-19 di Johor dalam tempoh beberapa bulan ini menunjukkan peningkatan mendadak.
Kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan terus memantau perkembangan jangkitan Covid-19 sekali gus memastikan langkah pencegahan dan kawalan dilaksanakan secara berterusan.
Secara kumulatif Johor Bahru merekodkan kes COVID-19 tertinggi sehingga ME51 iaitu sebanyak 2,431 kes diikuti Kulai (885) dan Batu Pahat (812), katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat Sabtu lalu, secara kumulatif terdapat 404,309 kes Covid-19 dilaporkan di Johor di mana 401,216 kes adalah jangkitan tempatan manakala baki 3,093 adalah kes import.
Purata Kadar Insiden Harian Covid-19 untuk ME51 adalah 8.44 untuk setiap 100,000 penduduk.
Tambah beliau, kerajaan negeri memandang serius situasi terkini Covid-19 dan menasihatkan orang ramai terus berwaspada ketika musim cuti perayaan yang panjang. – MalaysiaGazette