Seorang pelajar universiti tempatan berusia 18 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 34 sebuah kondominium di Kampung Bahru di sini semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar universiti tempatan berusia 18 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 34 sebuah kondominium di Kampung Bahru di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, mangsa dipercayai cuba mengambil baju yang tersangkut di kaki lima balkoni sebelum terjatuh.

Jelasnya, dua individu yang juga saksi kejadian menyatakan mangsa bertindak memanjat sebuah meja dan pagar balkoni sebelum hilang imbangan badan.

“Dua orang saksi kejadian menyatakan semasa kejadian si mati telah memaklumkan ingin mengambil sehelai t-shirtnya yang terjatuh di kaki lima balkoni rumah.

“Mangsa bertindak memanjat sebuah meja dan kemudian memanjat pagar balkoni tersebut. Mangsa hilang keseimbangan dan telah terjatuh ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kondominium itu mempunyai 39 tingkat.

Menurut Noor Dellhan, mayat mangsa dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. – MalaysiaGazette