Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 kes Covid-19 baru dikesan dalam kalangan mangsa banjir.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sembilan daripada kes tersebut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kelantan manakala selebihnya di Terangganu.

“Kes-kes Covid-19 adalah sporadik dan majoriti mempunyai gejala ringan dan dirawat di PPS atau di rumah (12 kes), manakala dua kes memerlukan rawatan di hospital,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu katanya, KKM mengesan lima kes wabak konjunktivitis di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, Pasir Mas pada 26 Disember lalu.

Menurut beliau, seramai 15 orang yang terdedah kepada wabak berkenaan.

“Kesemua kes telah diberi rawatan, pendidikan kesihatan dan diisolasi di PPS berkenaan oleh pasukan perubatan,” tambahnya.

Dalam masa yang sama Dzulkefly berkata, sebanyak sebanyak 51 fasiliti kesihatan terjejas banjir di tiga negeri iaitu Kelantan (23), Terengganu (11) dan Pahang (17).

“Sebanyak 34 fasiliti kesihatan masih beroperasi seperti biasa, manakala, 16 fasiliti kesihatan telah berpindah operasi
ke fasiliti alternatif, dan satu fasiliti kesihatan tidak dapat beroperasi kerana terputus hubungan. Orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan termasuk fasiliti alternatif seperti biasa,” jelas beliau.

Hujan lebat berterusan yang berlaku semenjak 23 Disember 2023 hingga 25 Disember 2023 menyebabkan banjir di tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, dan Sabah.

Namun, banjir di tiga buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah telah pulih sepenuhnya.

Bilangan PPS berkurangan dari 214 kepada 103 di antara 23 Disember hingga kini.

Dalam tempoh berkenaan, Dzulkefly berkata, KKM menggerakkan 66 pasukan perubatan, 67 pasukan kesihatan dan 99 pasukan Mental Health Psychosocial Support (MHPSS) ke negeri-negeri terjejas banjir bagi memberi perkhidmatan kesihatan dan sokongan psikososial kepada 22,835 mangsa banjir di kesemua 103 PPS. – MalaysiaGazette