Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bercakap kepada media selepas majlis perasmian Menara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Menara MAIWP, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu memberikan keyakinan serta ruang kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam (Jawatankuasa Khas)  menjalankan peranannya secara profesional dan berkesan.

Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, ini kerana hasil kajian, pandangan dan syor Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.

Sehubungan itu beliau menyifatkan, cadangan berkaitan pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas seperti yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham adalah tidak berasas.

“Dalam perkara-perkara dasar pentadbiran hal ehwal Islam termasuk isu-isu dasar perundangan dan kehakiman syariah yang melibatkan urusan umat Islam, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa terlebih dahulu merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selain merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu katanya, Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan 5 Disember lalu bertujuan untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, semua anggota yang dilantik masing-masing mempunyai kepakaran dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sivil dan undang-undang Syariah dan berkelayakan untuk membuat kajian, memberikan pandangan dan sumbang saran bagi memastikan jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni dapat dibuat bagi menyelesaikan semua isu yang berbangkit dalam perkara ini demi memartabatkan dan memperkasa perundangan Syariah dan sistem kehakiman Syariah di negara ini.

“Anggota Jawatankuasa Khas yang telah dilantik pada masa ini untuk menjalankan tanggungjawab ini adalah memadai mengambil kira bidang kepakaran masing-masing,” tambahnya.

Jawatankuasa Khas dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Negara Datuk Seri Zaki Tun Azmi dan turut dianggotai oleh anggota lain yang terdiri daripada mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, wakil Majlis Agama Islam Negeri, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Mahkamah Syariah, ahli akademik dan pengamal undang-undang.

Baru-baru ini, Koo Ham dilaporkan mencadangkan supaya  kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Katanya, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Kemudian, Setiausaha Agung parti Anthony Loke berkata cadangan itu merupakan satu kekhilafan Koo Ham. -MalaysiaGazette