Pengerusi MN Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard, ambil surat saman di Pejabat Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Kompleks F Lebuh Perdana Timur, Presint 1, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 29 DISEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard bersedia berdepan dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di mahkamah meskipun tidak diwakili peguam bela.

Malah beliau tidak teragak-agak untuk memanggil pihak yang terlibat dan tersenarai dalam dokumen berkaitan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk memberi keterangan di mahkamah.

“Saya sedia terima kalau Nik Nazmi nak hentikan siasatan polis dengan proses mahkamah, saya sedialah.

“Bukan sebab saya kaya tapi kalau saya tak ada peguam, saya pergi sendirilah ke mahkamah dan saya nak bawa semua jenis dokumen dan nak sapina semua orang yang tanda tangan perjanjian-perjanjian tu dan saya nak soal satu-satu. Tapi janganlah peguam Nik Nazmi nak bantah pulak dengan kata tak releven.

“Saya cabar Nik Nazmi bawa ke mahkamah dan saya sapinakan semua, kita jawab di mahkamah biar rakyat tahu,” katanya ketika ditemui di lobi Sumber Asli dan Kelestarian Alam hari ini.

Terdahulu, beliau hadir ke kementerian tersebut untuk mengambil sendiri Surat Tuntutan (LOD) daripada Nik Nazmi berhubung isu projek RTB untuk menuntutnya menarik balik serta-merta dan memohon maaf secara terbuka atas kenyataan berunsur fitnah berhubung projek RTB.

Walaubagaimanapun, Chegu Bard mendakwa tidak menerima surat tersebut sejak semalam selepas menteri itu membuat kenyataan telah menyerahkannya serta-merta.

Selepas beberapa minit berada di pejabat kementerian tersebut, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan itu keluar dan berkata beliau dimaklumkan surat tersebut dihantar kepadanya melalui pos berdaftar hari ini.

“Selepas semalam dia buat kenyataan, saya pun fikir Chegu Bard mana lah surat itu diserahkan jadi saya buat keputusan hantar mesej kepada menteri, saya nak ambil surat itu di pejabatnya.

“Nik Nazmi maklumkan kepada pejabat kementerian bahawa mereka sudah hantar hari ini melalui pos berdaftar, oh baru nak hantarlah. Kau sembang kari Nik Nazmi. A cakap A lah, B cakap B,” tambahnya.

Pada 21 Disember lalu, Chegu Bard mendakwa kononnya berlaku elemen rasuah dalam pelaksanaan projek RTB dikendalikan oleh kementerian itu membabitkan nilai lebih RM16 bilion dan terdapat syarikat serta individu yang langsung tidak dikenali memperoleh komisen sebagai proksi kepada menteri.

Mengulas lanjut, Chegu Bard berkata Nik Nazmi sebagai menteri sepatutnya terbuka dengan kritikan orang awam sepertinya.

Tambahnya lagi, Nik Nazmi sepatutnya memberi penjelasan kepada persoalan yang dibangkitkannya.

“Nik Nazmi cakap saya tipu jumlahnya, dia kata RM11 bilion. Maknanya Nik Nazmi mengakui bila dia dibuat balik projek tebatan banjir itu dengan nilai yang jauh lebih besar.

“Kalau saya Nik Nazmi, saya menteri yang menentang rasuah saya tidak panik kalau pejabat menteri tidak terlibat. Ini tidak, angkuh kata akan saman Chegu Bard. Sampai cakap saya kalah banyak saman, saya kalah saman apa?

“Kau jadi menteri tentu terbuka dengan pertanyaan awam, kritikan awam, tidak akanlah orang awam tidak boleh bertanya? Reformasi apa ini?,” soalnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast