Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Undang-undang Syariah adalah terpakai untuk orang Islam sahaja, lantaran itu, Datuk Ngeh Koo Ham tiada keperluan untuk membuat cadangan membabitkan undang-undang tersebut.

Menyifatkan cadangan Ko Ham sangat bodoh, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dengan tegas berkata, Ahli Parlimen Beruas itu adalah antara contoh pemimpin yang tidak mahu memahami sensitiviti orang Islam di negara ini.

“Undang-undang syariah adalah terpakai untuk orang islam sahaja, maka tak perlu dan tidak ada keperluan atas cadangan yang sangat bodoh dari Ngeh Ko Ham ini.

“Maka pemimpin seperti ini lah yang menjadi duri di dalam daging bagi Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam hantaran di Facebook,

Muhamad Akmal mengulas cadangan Koo Ham, dari parti DAP yang menyaran kerajaan melantik pakar bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.

Akmal juga memberi kata dua kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook supaya memilih sama ada mahu melindungi pemimpin seperti Koo Ham ataupun mahu memelihara hubungan sesama parti di dalam KerajaanPerpaduan.

“Jika mahu menjaga pemimpin seperti ini, maka kita boleh lupakan hubungan antara Kerajaan Perpaduan. Cukup-cukuplah.Fullstop!!!,” tegasnya.

Semalam Koo Ham dilapor berkata, kerajaan disaran melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.

Beliau menjelaskan langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Koo Ham turut mengingatkan bahawa Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelak konflik.

Beliau turut menyarankan kerajaan melibatkan badan peguam, memandangkan badan berkanun itu dibentuk untuk memastikan undang-undang yang diluluskan adil dan saksama.

Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-undang Islam bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntuk Perlembagaan. – MalaysiaGazette