Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth hari ini atas tuduhan merogol anak perempuannya.

BUTTERWORTH – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merogol anak perempuannya yang berusia 14 tahun pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 39 tahun itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima cahaya mata itu didakwa merogol anak kandungnya yang mana perhubungan tertuduh tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di bilik sebuah hotel di Simpang Ampat dalam Daerah Seberang Perai Selatan pada jam 2.30 pagi, 30 Oktober lalu.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM10,000.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding Mohammad Syafiq tidak menawarkan jaminan susulan hubungan tertuduh dengan mangsa adalah anak dan bapa.

Bagaimanapun, dalam rayuan tertuduh memohon diikat jamin pada kadar minima atas faktor pendapatan bulanan RM2,100 perlu menyara lima anak masih bersekolah, selain mangsa dalam kes tersebut tinggal bersama bekas isterinya di Parit Buntar, Perak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati dan menggangu mangsa sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 30 Januari depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette