Mohd Iqbal
ACP Mohd Iqbal Ibrahim

SHAH ALAM – Polis selesai merakam keterangan 12 individu bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan cedera parah selepas disimbah asid di Denai Alam, dekat sini, 8 November lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan masih diteruskan mengenal pasti motif kejadian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan oleh polis dalam mengesan individu terlibat dalam kejadian berkenaan,” katanya, hari ini.

Pada 8 November lalu, mangsa yang dikenali sebagai Nadia Fasha Qistina, 19, disimbah asid oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai pekerja e-hailing.

Kejadian berlaku ketika wanita berkenaan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di sebuah klinik di lokasi kejadian.

Siasatan polis mendapati mangsa telah mengalami kecederaan parah di muka, badan dan kaki sehingga terpaksa menjalani pembedahan di hospital bagi memulihkan tisu kulit serta menyelamatkan matanya. – MalaysiaGazette