KUALA LUMPUR – Sebuah bot nelayan tempatan Kelas C membawa 13 botol bersaiz 1.5 liter berisi air ketum ditahan di sekitar perairan Sabak Bernam, semalam.

Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor, penahanan dibuat pada 4.55 petang semalam oleh pasukan peronda Maritim Malaysia menerusi rondaan OP Ehsan, OP Murni dan OP Tiris 2.0 pada kedudukan kira-kira 8 batu nautika barat daya Tanjung Sauh.

Tambahnya, turut ditemui tiga botol ubat batuk dan satu beg plastik mengandungi 1.627 kilogram daun ketum segar yang disimpan di dalam simpanan ikan seberat 50 kilogram.

Menurutnya,bot nelayan itu dikendalikan empat warga Myanmar tanpa pengenalan diri yang sah berumur 26 hingga 41 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, bot nelayan itu melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokuman pengenalan diri yang sah,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, siasatan mendapati tekong dibayar gaji sebanyak RM120 sehari manakala awak-awak RM90 sehari.

“Kesemua kru, bot dan barang rampasan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Racun 1952 kerana memiliki air ketum dan daun ketum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast