pemandu Mercedes disamun dua lelaki bersenjata kayu baseball dan parang di atas jalan raya sibuk di Persiaran Pegaga, Klang Selangor dalam kejadian Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk berjumpa dengan kawan bersama sejumlah wang yang dikeluarkan dari sebuah bank di Klang melalui detik cemas apabila disamun dua suspek bersenjata besi dan parang di jalan raya.

Tragedi mencemaskan itu menimpa mangsa, seorang warga tempatan ketika memberhentikan kenderaannya di Jalan Persiaran Pegaga di Klang dalam keadaan trafik yang sedikit sesak kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, terdahu sekitar jam 7.20 petang Sabtu pihaknya menerima satu laporan polis daripada mangsa berumur 40 tahun mengenai insiden itu.

Katanya, mangsa dalam laporan polis itu mengadu alam kejadian pada Jumaat itu jam lebih kurang 2.50 petang, semasa dia memberhentikan kereta di Jalan Persiaran Pegaga di Klang telah disamun oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali.

“Hasil siasatan polis mendapati pada jam lebih kurang 2 petang sebelum kejadian mangsa yang menaiki Mercedes Benz hitam telah mengeluarkan sejumlah wang tunai dari mesin ATM di sebuah bank yang terletak di Jalan Meru, Klang sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan Bukit Tinggi untuk berjumpa dengan kawannya.

“Semasa memberhentikan kereta di Persiaran Pegaga, Klang, tiba-tiba mangsa telah didatangi dua suspek lelaki yang tidak kenali lalu memecahkan cermin pintu kereta sebelah pemandu dan penumpang,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Tambah Kamalariffin lagi, seorang suspek dipercayai menggunakan kayu besbol untuk memecahkan cermin pintu penumpang hadapan manakala rakan memecahkan cermin pintu sebelah pemandu menggunakan sebilah parang.

Katanya, setelah cermin pintu pemandu dipecahkan, suspek menggunakan senjata parang mengugut dan memaksa mangsa untuk menyerahkan beg komputer riba.

“Oleh kerana ketakutan dan demi menyelamatkan nyawanya supaya tidak diapa-apakan, mangsa telah menyerahkan beg komputer riba tersebut sebelum suspek telah melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Yaris berwarna silver.

“Ekoran daripada insiden samun itu, mangsa mengalami kecederaan patah tulang jari ketiga tangan kiri dan luka calar sebelah lengan kanannya sebelum mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Bukit Tinggi, Klang.

“Siasatan lanjut polis mendapati mangsa mengalami kerugian yang dianggarkan sebanyak RM6,000 iaitu kehilangan komputer riba dan kerosakan cermin kedua-dua pintu,” ujar beliau lagi.

Bertindak atas laporan polis yang diterima daripada mangsa, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan secara bersenjata dan mendatangkan kecederaan

Katanya, jika disabitkan boleh dikenakan hukuman pemenjaraan selama 20 tahun dan juga dikenakan denda dan sebat.

“Polis Klang Selatan memandang serius kejadian ini dan telah menggerakkan semua  pasukannya agar suspek yang terlibat dapat dijejaki dan ditangkap dalam tempoh masa yang terdekat.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.

“Selain itu, pihak polis juga telah terkesan satu rakaman mengenai kejadian ini yang sedang tular dalam media sosial sehingga topik perbuatan warga netizen dan menasihatkan kepada orang awam agar tidak menularkan video tersebut bagi mengelakkan kegusaran kepada masyarakat,” kata beliau lagi.

Terdahulu video berdurasi 57 saat tular di Facebook itu memaparkan dua  suspek berpakaian serba hitam dan bertopeng hitam bertindak memecahkan cermin kereta dipandu mangsa secara agresif di kedua-dua bahagian menggunakan kayu baseball dan parang.

Mangsa selepas kejadian terus keluar dari kenderaan di jalan yang sibuk itu dengan harapan untuk merakam kedua-dua suspek yang melarikan diri itu menggunakan telefon bimbitnya.- MalaysiaGazette