KUALA LUMPUR – Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Modest Fesyen & Usahawan Wanita (MFWS) 2024 di Hotel Intercontinental, di sini, 8 hingga 10 Februari depan.

Sidang kemuncak anjuran Kreasi Mode International dari Indonesia akan disertai lebih 62 negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ayu Fakih berkata, ia bagi meluaskan rangkaian usahawan wanita supaya berkembang dengan lebih pesat dan meningkatkan daya saing dalam ekosistem perniagaan moden yang kompetitif ini.

“Ia selaras dengan temanya, Forum Wanita Peringkat Tinggi Untuk Pertumbuhan Ekonomi dan Kemampanan.

“MFWS 2024 akan menjadi tempat untuk para wanita menjalin rangkaian, berhubung dan menyokong antara satu sama lain bagi membangunkan perniagaan mereka.

“Dengan mewujudkan forum ini untuk sidang kemuncak usahawan wanita, mereka boleh berhubung antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, MFWS 2024 akan menampilkan panel berpengalaman dalam pelbagai bidang perniagaan.

Antaranya Ketua Persatuan Pejabat Keluarga di Asia, Eva Law; Pengerusi Persatuan Fesyen Indonesia, Nur Asia Uno; Pemilik Rumah Sabine, Susan Emir; Pengasas dan Ketua Majlis Fesyen dan Reka Bentuk Islam, Alia Khan dan pemimpin perniagaan wanita terkemuka lain.

Sementara itu, Pengurus Projek MFWS 2024, Nurasiah Jamil pula berkata, terdapat lapan rakan kerjasama yang terlibat dalam sidang kemuncak itu.

“Antaranya Persatuan Fesyen Indonesia, Modest Fashion Australia, Modest Fashion Manila, Islamic Fashion & Design Council dari London, Association of Family Offices in Asia dari Hong Kong, Scarf Media, Hellobcr dan Indonesian Fashion Chamber.

“Kerjasama masih digalakkan dengan pelbagai pihak bagi menjayakan majlis ini,” katanya.

Selain itu, bagi memperkenalkan acara ini, MFWS 2024 telah mengadakan perhimpunan pertama di Jakarta Selatan pada 5 Disember lalu dan dihadiri oleh 23 jenama fesyen di seluruh Jabodetabek.

“Manakala perhimpunan kedua diadakan di sini pada 13 Disember dan dihadiri 25 jenama dan organisasi tempatan Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya turut mengadakan perhimpunan maya untuk menyambut peserta Australia pada 17 Disember lalu.

“Perhimpunan intim ini adalah acara mini untuk MFWS 2024 untuk menghimpunkan usahawan wanita untuk memperkenalkan acara kami.

“Kami juga mahu mula membina hubungan antara satu sama lain, antara kami penganjur dan peserta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette