BAYAN LEPAS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz menyifatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertindak tergesa-gesa dalam memberi kelulusan pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar tanpa memikirkan impak kepada penduduk tempatan.

Azrul Mahathir yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) turut meluahkan rasa kesal susulan kerajaan negeri didakwa seolah-olah tidak mendengar pandangan beliau selaku wakil rakyat di kawasan tersebut meskipun bantahan telah diutarakan melalui surat rasmi, bersemuka serta menerusi sidang DUN.

Menurut Azrul, pihaknya faham kerajaan negeri mencari solusi menempatkan pekerja asing ini secara sistematik susulan menerima aduan daripada rakyat tempatan di kawasan tertentu berkaitan kacau ganggu warga asing disebabkan penempatan berselerak.

“Kebetulan ketika itu pula ada pemaju tawar sedia bina asrama di tanah persendirian sekali gus membuatkan kerajaan negeri tertarik kerana ia dilihat mampu menyelesaikan isu berbangkit (kacau ganggu warga asing) sebelum ini.

“Bagaimanapun, apabila Teluk Kumbar menjadi lokasi cadangan pelbagai bantahan telah diutarakan kerana ini bukan satu kawasan yang sesuai bagi projek berkenaan atas beberapa faktor termasuk dari segi sosial serta kesesakan lalu lintas.

“Kalau kita lihat segi demografi serta georgrafi Teluk Kumbar tidak sesuai kerana kita hanya ada satu laluan utama untuk ke kawasan perindustrian tambahan pula ia laluan berbukit,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut mengenai laporan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) membabitkan pembinaan asrama pekerja asing, Azrul berkata, pihaknya telah meneliti laporan salah seorang pemaju projek berkenaan sebelum mendapati ia dilakukan tanpa mengambil kira soal nisbah penjagaan polis, kemampuan hospital untuk menampung jumlah pesakit yang ramai serta soal keselamatan dari sudut kebombaan.

“Saya beri contoh setiap kali solat Jumaat masjid penuh dengan penduduk tempatan sekiranya pekerja asing datang solat ketika tidak boleh menidakkan hal mereka sebagai orang Islam namun ia akan menyukarkan penduduk asal yang terpaksa berkongsi kemudahan tersebut sedangkan kemudahan itu bukan dibuat untuk mereka.

“Bukan saja itu, isu gangguan bekalan air di Teluk Kumbar pun terhegeh-hegeh nak diselesaikan apatah jika ribuan pekerja asing dilonggokkan di sini.

“Jadi bagi saya bukan 8,000 kalau 800 pun sudah banyak kerana penempatan di sini bukan penempatan baharu,” tegasnya.

Sehubungan itu, Azrul berharap kerajaan negeri akan mempertimbangkan semua bantahan yang diutarakan termasuk suara penduduk asal.

“Saya akan berjumpa dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi menyampaikan memorandum bantahan penduduk untuk pertimbangan beliau kerana bagi saya yang penting adalah rakyat, mereka merupakan aset kepada negeri.

“Namun, sekiranya projek ini masih mahu diteruskan kita akan bawa perkara ini kepada Lembaga Rayuan PLANMalaysia untuk tindakan lanjut kerana itu hasrat penduduk di sini tanpa mengira bangsa dan parti,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Penduduk Teluk Kumbar terus bantah pembinaan asrama pekerja asing

Media semalam melaporkan lebih 1,000 penduduk sekitar Teluk Kumbar di sini mengadakan bantahan secara aman berhubung kelulusan pembinaan asrama pekerja asing di kawasan berkenaan.

Bantahan yang berlangsung kira-kira satu jam itu turut menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan kelulusan serta kebenaran merancang asrama tersebut sekali gus menunjukkan pimpinan sedia ada memperjuangkan hak demokrasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast