Penduduk Teluk Kumbar bersama NGO dan beberapa pemimpin parti politik mengadakan bantahan aman berhubung pembinaan asrama pekerja asing di kawasan berkenaan hari ini.

BAYAN LEPAS – Lebih 1,000 penduduk sekitar Teluk Kumbar, di sini, mengadakan bantahan secara aman berhubung kelulusan pembinaan asrama pekerja asing di kawasan berkenaan.

Bantahan yang berlangsung kira-kira satu jam itu turut menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan kelulusan serta kebenaran merancang asrama tersebut, sekali gus menunjukkan pimpinan sedia ada memperjuangkan hak demokrasi.

Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak Bantahan yang juga Pengerusi Kariah Masjid Maqbul Teluk Kumbar, Prof Emiritus Dr. Muhammad Idris Salleh berkata, kerajaan negeri dilihat seolah-olah tidak mengambil peduli suara penduduk setempat susulan majoriti besar penduduk Teluk Kumbar membantah pembinaan asrama pekerja asing itu sejak 2021.

Jelas beliau, ketegasan kerajaan negeri mahu meneruskan projek ini dapat dilihat apabila kelulusan projek tersebut hanya dimaklumkan menerusi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa sebarang perbincangan empat mata dengan penduduk.

“Alasan mereka (pemaju dan kerajaan negeri) penempatan itu lebih mudah untuk mengawal pergerakan warga asing selain faktor ekonomi namun mereka gagal menitik beratkan soal kepentingan rakyat yang mengundi mereka.

Prof Emiritus Dr. Muhammad Idris.

“Jangan fikir soal ekonomi semata-mata sedangkan Singapura sendiri tidak dapat mengawal isu jenayah membabitkan warga asing dan perkara itu disebut dalam sidang parlimen negara berkenaan.

“Bayangkan mereka masuk sini semua percuma, guna kemudahan rakyat tempatan kemudian wang dihantar ke kampung halaman tapi rakyat tempatan yang bayar cukai, bil terpaksa berdepan pelbagai risiko sosial, trafik dan pelbagai lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, penduduk sekitar Teluk Kumbar berkumpul dengan membawa sepanduk bagi menyuarakan bantahan mereka berhampiran tapak binaan asrama pekerja asing tersebut.

Selain itu, beberapa memorandum turut diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz untuk menyuarakan bantahan mereka kepada kerajaan negeri.

Prof Emiritus Dr. Muhammad Idris (kanan) menyerahkan memorandum kepada Adun Bayan Lepas, Azrul.

Hadir sama, ADUN Pulau Betong, Mohd Shukor Zakariah; Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah; Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai; Exco Armada Bersatu Nasional, merangkap Ketua Penerangan Pemuda PN Pulau Pinang, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid; Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir), Datuk Muhamad Farid Saad; Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain; wakil beberpaa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan nelayan.

Tambah Muhammad Idris, pihaknya juga akan melihat ke arah perundangan sekiranya kerajaan negeri yang mempunyai kuasa autonomi masih bekeras meneruskan projek tersebut.

”Kami ada beri jemputan bantahan ini kepada pejabat Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye namun tiada wakil yang hadir,” katanya.

Sementara itu, Dominic Lau berkata, pihaknya telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji semula Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) membabitkan pembinaan asrama pekerja itu.

Dominic.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang harus sedar wakil rakyat dipilih oleh penduduk tempatan bukan warga asing jadi kita mahukan penyelesaian dalam isu ini yang mana majoriti rakyat tolak projek tersebut.

“Jika mereka (kerajaan negeri) masih mahu meneruskan projek ini saya gesa Adun Bayan Lepas letak jawatan dan adakan Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk melihat referendum rakyat kawasan ini,” katanya.

Turut meluahkan pandangan sama, Muhammad Harris Idaham menyifatkan bantahan ini sepatutnya tidak perlu berlangsung kerana wakil rakyat yang mewakili penduduk kawasan itu terdiri dalam kalangan parti politik yang mewakili kerajaan negeri serta pusat.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan ada bantahan, lainlah jika kawasan ini dimenangi wakil rakyat pembangkang yang tidak mempunyai suara majoriti di dewan hingga perlu turun ke jalan bersama rakyat.

Muhammad Harris.

“Bagi saya sepatutnya Ahli Parlimen Balik Pulau dan ADUN Bayan Lepas mainkan peranan dan guna hubungan rapat mereka dengan Ketua Menteri serta Perdana Menteri untuk memperjuangkan hak rakyat yang memilih mereka bukan biarkan isu yang diketengahkan dalam manisfesto kekal berlaku.

“Saya pernah mempunyai jawatan dalam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Pihak Berkuasa Tempatan serta Ketua Menteri mempunyai kuasa untuk tarik balik kebenaran merancang meskipun ia telah dikeluarkan,” katanya.

MalaysiaGazette pada 27 November lalu melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan asrama pekerja yang akan dilakukan di atas lot 1859,1860 & 1865, Tingkat Teluk Kumbar, Mukim 9, Teluk Kumbar oleh Tetuan Chong Company Sdn. Bhd.

Katanya, anggaran seramai 32,680 pekerja warga asing akan ditempatkan di blok bangunan setinggi 27 tingkat itu.

“Walau bagaimanapun, sehingga kini Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hanya menerima Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) daripada Tetuan Chong pada 27 Jun lalu dan permohonan tersebut masih dalam proses pertimbangan,” katanya. – MalaysiaGazette