PEMBENTUKAN Kerajaan Perpaduan yang menghimpunkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sebelum itu berseteru masih belum dapat menyejukkan suhu politik yang agak panas tahun ini.
Tahun 2023 yang menyaksikan genap setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10 disulami dengan pelbagai pancaroba politik termasuk gelagat pembangkang yang masih tidak berputus asa untuk mengambil alih tampuk pemerintahan tanpa melalui proses pilihan raya.
Sejak Januari hingga Disember, dunia politik Malaysia tidak pernah sunyi daripada pertikaman lidah antara pemimpin-pemimpin kerajaan dan pembangkang, sama ada di dalam atau di luar Parlimen.
Kemuncaknya dapat dilihat pada pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah 12 Ogos lalu.
Boleh dikatakan ‘pertempuran’ antara parti-parti yang bertanding pada enam PRN tersebut adalah lebih sengit berbanding semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Asakan Perikatan Nasional (PN) yang agak agresif menyebabkan Anwar yang juga Pengerusi PH kerap turun padang untuk ‘meminjamkan auranya’ bagi memastikan kesinambungan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan dan Selangor.
Keputusan enam PRN tersebut menepati jangkaan apabila Kerajaan Perpaduan dapat dibentuk di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor manakala Kelantan, Kedah dan Terengganu yang didominasi Pas kekal di tangan PN.
Cuma UMNO yang selama ini dikenali sebagai parti terbesar orang Melayu dilihat semakin hilang pengaruhnya apabila hanya mampu memenangi 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.
Selain itu, enam pilihan raya kecil (PRK) berlaku sepanjang tahun ini bermula di Parlimen Kuala Terengganu (12 Ogos) diikuti DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai (9 September), DUN Pelangai (7 Oktober), DUN Jepak (4 November) dan Parlimen Kemaman (2 Disember).
PRK Parlimen Kemaman dan Kuala Terengganu perlu diadakan setelah mahkamah membatalkan kemenangan PN pada PRU15 manakala bagi empat PRK lain, penyandang-penyandang kerusi berkenaan telah meninggal dunia.
Keputusan enam PRK tersebut tidak menyebabkan sebarang perubahan dari segi komposisi kerusi DUN atau Parlimen kerana kemenangan memihak kepada parti-parti penyandang.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram paling mencuri tumpuan berikutan pemergian bekas penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang sentiasa dikenang kerana gigih berusaha sehingga ke akhir hayat untuk meringankan beban rakyat melalui pelaksanaan konsep Rahmah ketika beliau menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketika 2023 semakin hampir melabuhkan tirai, kedengaran pula desas-desus mengenai Langkah Dubai yang dikatakan mirip Langkah Sheraton yang pernah dilancarkan sebelum pembentukan kerajaan PN pada awal 2020.
Mujurlah Langkah Dubai tidak menjadi kenyataan dan kita bakal melangkah memasuki 2024 dengan Kerajaan Perpaduan masih mentadbir negara.
Ironinya, sebelum itu, lima Ahli Parlimen PN yang kesemuanya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) secara terbuka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Walaupun Kerajaan Perpaduan mempunyai kelemahan yang boleh diperbaiki, rakyat sudah jelak dengan politik tebuk atap dan sebahagian besar mereka mahu melihat politik negara stabil sehingga penggal ini berakhir.
Kestabilan politik lebih mudah dicapai jika ekonomi negara kembali makmur dan berkembang pesat. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pasti amat memahami hakikat itu.
Rombakan Kabinet pada 11 Disember lalu menunjukkan kesediaan Anwar melakukan reformasi pentadbiran bagi memastikan beliau mempunyai pasukan yang lebih mantap untuk mengemudi negara keluar dari kemelut ekonomi.
Kerjasama politik antara PH dan BN akan menjadi lebih kukuh apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini masih menjalani hukuman penjara diberi keadilan yang sewajarnya.
Mahu tidak mahu, kepimpinan Kerajaan Perpaduan khususnya UMNO perlu mengakui bahawa keadilan untuk Najib merupakan formula penting bagi mereka untuk mendapatkan semula sokongan akar umbi parti itu yang ‘merajuk’ semasa PRU15 dan enam PRN.
Semoga politik negara tenang-tenang sahaja sepanjang 2024 dan pada tahun-tahun mendatang sebelum gelanggang PRU16 dibuka. – MalaysiaGazette