Hajiji Noor

KOTA KINABALU – Tiada siapa yang boleh memecahbelahkan Sabah selagi mana perpaduan dalam kalangan rakyatnya kekal teguh, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya sebagai Ketua Menteri, beliau komited untuk melihat Sabah tercinta ini kekal bersatu, sejahtera dan inklusif selamanya.

“Kita akan kukuh hanya apabila perpaduan terus teguh. Dengan perpaduan kita dapat mengetepikan sebarang cubaan untuk menjejaskan kestabilan, di samping dapat memastikan bahawa pembangunan boleh diteruskan tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam amanat sempena Tahun Baharu di sini hari ini.

Katanya beliau amat terharu dengan sokongan rakyat yang teguh berdiri di belakang kerajaan, terus memberikan kepercayaan kepada keikhlasan beliau untuk melakukan yang terbaik buat Sabah.

“Mari kita ketepikan politik, kita tolak sebarang usaha untuk melaga-lagakan kita. Kita perlu melangkah ke hadapan bersama ke tahun baharu dengan penuh tekad, bersatu dalam kepelbagaian, dan komited untuk melakukan kebaikan selaras dengan mandat yang diberikan untuk memajukan negeri.” katanya.

Beliau berkata dengan sokongan rakyat, kerajaan kegeri telah mengorak langkah yan hebat dalam melaksanakan pelan pembangunannya Hala Tuju Sabah Maju Jaya, dan walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, kerajaan negeri tetap teguh dalam melaksanakan agenda SMJ, terus berada di landasan betul dalam melaksanakannya.

Hajiji berkata Bajet 2024 negeri yang diluluskan baru-baru ini berjumlah RM5.701 bilion, adalah bukti komitmen kerajaan negeri untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Sabah.

“Komitmen terhadap pertumbuhan kekal, tidak pernah berbelah bahagi. Kita tetapkan sasaran bagi merebut pelbagai peluang yang boleh dimanfaatkan negeri dalam semua sektor. Kita akan terus lakar kejayaan dan mengejar peluang pelaburan baharu untuk mewujudkan spin-off ekonomi di samping mewujudkan pekerjaan untuk rakyat,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata semua kejayaan dan rancangan ini tidak akan bermakna tanpa usaha dan komitmen gabungan semua, serta persekitaran yang kondusif untuk mencapai matlamat pembangunan.

— BERNAMA