KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, beliau jarang mengulas peristiwa yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim 25 tahun lepas sebaliknya mahu fokus kepada agenda membantu rakyat serta membaik pulih ekonomi.
Menerusi ciapan di laman Twitter, Menteri Ekonomi itu menegaskan bahawa beliau yakin Allah telah memberikan keadilan kepada semua.
Katanya, setiap manusia diuji oleh Allah dan Anwar diuji dengan fitnah sebegitu.
“@Anwaribrahim diuji dgn fitnah sebegini & kita yang lain diuji untuk lihat sama ada kita membiarkan kerosakan sebegini berterusan dalam masyarakat,” katanya.
Menurut Rafizi, peristiwa yang berlaku terhadap Perdana Menteri sudah 25 tahun berlaku dan biarlah ia berlalu.
“Ada pahala & dosa kepada setiap dari kita yang berdepan ujian ini.
“Maslahat nombor 1 negara sekarang membantu rakyat (baik pulih ekonomi dll), jadi saya tak suka kembali ke perkara lepas. Sebab itu saya jarang sangat ulas kerana saya yakin Allah telah berikan keadilan kepada semua,” katanya.
Namun, Timbalan Presiden PKR itu berkata, apabila isu-isu tersebut muncul semula dan ada risiko fitnah itu tersebar lagi, maka menjadi tanggungjawab kita juga melindungi masyarakat (terutamanya orang muda) dari terjebak dosa kering.
Sejak Anwar menerajui tampuk kepimpinan negara, pembangkang kerap mengulangi peristiwa beliau dipecat daripada Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad atas pertuduhan liwat. – MalaysiaGazette