Menteri Pengangkutan, Anthony Loke beramah mesra bersama orang awam ketika mengadakan lawatan kerja ke JPJ Negeri Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 02 JANUARI 2024.

SHAH ALAM – Kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM134.3 juta atau RM7.90 bagi setiap Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang diperbaharui secara digital.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, seramai 17 juta pemegang lesen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan hanya 7.5 juta sahaja yang mempunyai digital ID setakat 31 Disember 2023.

“Fungsi kad ini (LMM) untuk lesen sahaja, ia bukan ada fungsi lain, jadi kita merasakan tidak perlu ada lagi kad seperti ini.

“Ia kad yang tebal, kosnya agak tinggi kepada kerajaan, RM7.90 kos untuk kita cetak satu kad ini.

“Setakat 31 Disember 2023, ada 7.5 juta pemandu dan pemilik kenderaan yang menggunakan aplikasi MyJPJ dan mempunyai digital ID,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu Anthony  bersama timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah mengadakan lawatan ke JPJ Selangor di Padang Jawa di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun pemandu dan pemilik kenderaan masih belum bersedia ke arah digitalisasi, kerajaan masih mengeluarkan dokumen lesen itu sementara stok masih ada.

“Bagi tujuan penyesuaian dalam tempoh interim, JPJ akan mengeluarkan LKM dan LMM fizikal berbentuk baharu dan diseragamkan dengan 17 ciri keselamatan.

“Sebelum ini, LKM fizikal merupakan pelekat disk dan LMM berbentuk kad plastik.

“Selepas ini pengeluaran LKM dan slip LMM fizikal adalah dalam bentuk kertas keselamatan sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette