PUTRAJAYA – Gerakan mahu menjatuhkan kerajaan – digelar ‘Langkah Dubai’ – seperti dilaporkan beberapa hari lalu didakwa tidak memberi kesan kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri mengakui maklum mengenai gerakan itu dan berpendapat ia tidak perlu diberikan perhatian.
“Saya baca mengenai Langkah Dubai tapi bagi saya kita tumpu soal kerja. Itu kerja (gerakan jatuhkan kerajaan) mereka bagi saya tidak beri kesan dan yang penting kita sudah mula 2 Januari lancarkan satu program penting bagi rakyat,” katanya.
Beliau membuat penegasan itu ketika ditemui media selepas meluncurkan Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Anwar sebelum itu diminta mengulas mengenai dakwaan terdapat gerakan menjatuhkan kerajaan yang dibuat di Dubai.
Dalam pada itu, Anwar turut ditanya sama ada kerajaan pimpinannya masih bertapak di Putrajaya sementelah terdapat gerakan-gerakan yang mahu menjatuhkannya.
Anwar hanya menjawab ringkas;”Alhamdulillah”.
Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop mendakwa ada rancangan sulit digerakkan sesetengah pihak untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar.
Ismail mendakwa rancangan tersebut yang digelar sebagai Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) serta ahli Parlimen kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu baru-baru ini.
Beliau juga mendedahkan ada tugas khusus diberikan kepada penyokong kerajaan itu mengenal pasti ahli-ahli Parlimen berpotensi mengalih sokongan mereka kepada pembangkang.
Awal hari ini, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan memang wujud gerakan digelar Langkah Dubai bagi menjatuhkan kerajaan.
Ahmad Zahid mendakwa gerakan berkenaan bukan sahaja didalangi pemimpin dari parti pembangkang bahkan turut disertai individu tertentu dari blok kerajaan. – MalaysiaGazette