M. Kula Segaran Members of Parliament buying MPs MP support Perikatan Nasional PN MACC logo Datuk taxi company owner bribery UMNO legal advisor Paul Geoffrey Stadlen MACC 1MDB scandal Mohd Hafarizam Harun Malaysian Anti-Corruption Commission
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan awal berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti bagi menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

Sumber yang boleh dipercayai memberitahu, SPRM telah pergi ke Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri bagi proses siasatan dan mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan hari ini.

Menurut sumber itu, siasatan dibuat berdasarkan maklumat awal sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran pada November tahun lepas.

Prabakaran meminta Perdana Menteri menyatakan, jumlah keseluruhan yang dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini.

Susulan kenyataan Anwar itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut membuat catatan di laman sosial X baru-baru ini bahawa rakyat berhak mengetahui bagaimana RM700 juta telah dibelanjakan.

“SPRM mengambil tindakan proaktif menjalankan siasatan sebagaimana pendedahan mengenai penggunaan wang RM700 juta, baru-baru ini.

“Siasatan awal menjurus kepada bagaimana wang tersebut dibelanjakan dan adakah prosesnya mengikut tatacara yang betul,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan siasatan tersebut tetapi, enggan mendedahkan butiran siasatan. – MalaysiaGazette