Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media diiringi timbalannya , Teo Nie Ching (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa (kiri) selepas mesyuarat pasca kabinet di Kompleks Kementerian Komunikasi, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 03 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini bersetuju dengan cadangan supaya Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang di bawah kementerian tersebut dirombak.

Ia bagi mewujudkan keperluan untuk penyelarasan terhadap fungsi dalam jabatan berkenaan.

Walau bagaimanapun Fahmi berkata, masih terlalu awal untuk membuat pengumuman berhubung perkara berkenaan.

“Sebelum isu ini dibangkitkan memang saya sudah meneliti semula fungsi J-KOM.  Oleh kerana tempoh masih awal untuk saya buat apa-apa pengumuman, tetapi memang kita lihat perlu ada penyesuaian beberapa fungsi tugas selaras hasrat Kerajaan Madani,” katanya ketika sidang media.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi hari ini menggesa J-KOM dirombak secara menyeluruh selepas agensi itu mendakwa wujudnya “Langkah Dubai” untuk menggulingkan kerajaan.

Dakwaan berkenaan disuarakan oleh Timbalan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop kononnya wujud “Langkah Dubai” ketika percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, beliau difahamkan kenyataan Ismail pada mulanya berasal daripada perbualan daripada Group Whatsapp yang disebarkan.

Sehubungan itu katanya, penyelarasan perlu dibuat bagi mengelak kejadian yang sama berulang semula.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast