Pelakon Nur Fazura ketika Sidang Media Tayangan Perdana Filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah arahan Saiful Reza Shukor di GSC Ioi City Mall Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 2 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Pelakon terkenal, Fazura teruja melakonkan watak mencabar dengan menunggang kuda dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Namun, Fazura atau nama penuh, Nur Fazura Sharifuddin, 40, mengakui agak seram membawa watak aksi sebagai ketua srikandi yang bernama Sayang dalam filem itu kerana terdedah dengan risiko kecederaan.

Lebih menyeramkan andai kecederaan itu boleh menjejaskan peluang untuk mendapatkan zuriat pada masa akan datang.

“Sebelum ini saya ada pengalaman asas menunggang kuda, namun saya tetap risau sekiranya berlaku kemalangan serius.

“Sejak hari pertama lagi saya sudah cedera dekat tangan dan kaki tapi setiap hari saya berdoa agar tidak terjatuh daripada kuda yang saya tunggang.

“Ada juga srikandi (pelakon wanita) yang lain jatuh di set sebab kuda terbalik, memang saya risau sangat lagi-lagi peranakkan sebab badan ini kita nak gunakan untuk mengandung dan bersalin lagi selepas ini,” katanya pada MalaysiaGazette.

Pelakon Fattah Amin dan Nur Fazura ketika Sidang Media Tayangan Perdana Filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah arahan Saiful Reza Shukor di GSC Ioi City Mall Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 2 JANUARI 2024.

Mengulas kritikan pilihan busana watak Srikandi dikatakan tidak menepati sejarah Melayu, isteri kepada aktor Fattah Amin berkata, jangan mengkritik sesuatu perkara tanpa ilmu dan meminta orang ramai supaya mengkaji lebih mendalam sejarah.

“Sejujurnya saya tidak pernah baca lagi berita itu, tapi seperti penerbit cakapkan ada betulnya. Kita belum tengok apa-apa lagi sudah kritik dan kita tidak mengkaji dahulu tanpa ada ilmu.

“Jadi jangan kritik tanpa ilmu pengetahuan dan saya pasti pihak produksi tidak akan buat sesuatu tanpa lakukan kajian.

“Sebenarnya, pakaian perang ketua srikandi dalam filem ini adalah baju kurung Kedah dan di luar pula kita pakai baju perisai. Ia menutup aurat serta memudahkan srikandi untuk berjuang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nur Fazura berharap orang ramai dapat menghayati filem itu menerusi mesej yang ingin disampaikan dan bukan terus mencari silap dalam filem tempatan.

Ujarnya, karya itu juga merupakan satu-satunya filem yang memartabatkan kaum wanita terutama dalam peperangan serta mempunyai unsur keislaman yang boleh dicontohi.

Filem prekuel kepada Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dan membabitkan kos RM15 juta itu bakal menemui penonton di pawagam pada 11 Januari ini. – MalaysiaGazette