Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan pertemuan dengan keluarga murid yang menghadapi masalah untuk meneruskan persekolahan susulan ketiadaan dokumen kewarganegaraan.

KPM menerusi kenyataan memaklumkan, pertemuan tersebut dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) pada 28 Disember tahun lalu.

Katanya, ia bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan murid terlibat meneruskan persekolahan seperti biasa.

“Beberapa cadangan penyelesaian telah dikemukakan berkaitan dengan keperluan dokumentasi kewarganegaraan murid terbabit.

“Manakala pihak JPNS pula komited untuk membantu dari aspek pengurusan pendaftaran murid di sekolah.

“Pertemuan telah berlangsung dalam suasana harmoni dan mencapai hasil yang positif,” katanya.

Menurut KPM lagi, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan akses pendidikan berkualiti untuk semua murid warganegara dengan agenda pendidikan manusiawi dalam memastikan tiada murid yang tercicir.

Seorang murid perempuan, Shivaani yang tidak mempunyai dokumen kewarganegaraan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibenarkan bersekolah.

Dia yang 10 tahun dipercayai tidak dapat meneruskan darjah empat pada Mac ini selepas ibu bapanya tidak mendaftar perkahwinan yang kemudian bercerai pada 2013.

Murid itu sebelum ini bersekolah hingga darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pagi, Senawang.

Keluarganya perlu membayar sebanyak RM120 setiap tahun bersekolah kerana masalah itu.

Kanak-kanak tersebut tidak dapat meneruskan persekolahan pada sesi pembukaan sekolah Mac nanti kerana dasar baharu KPM. – MalaysiaGazette