Pelakon Nadhir Nasa melakukan aksi silat ketika Sidang Media Tayangan Perdana Filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah arahan Saiful Reza Shukor di GSC Ioi City Mall Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 2 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Nadhir Nasar, 27, tidak gentar membawa watak Tahir dalam filem Pendekar Awang : Darah Indera Gajah walaupun pertama kali terlibat dalam industri perfileman negara.

Sebaik sahaja mendapat naskah filem itu pada September 2022, Nadhir atau Ahmad Nadhir Ahmad Nasar berkata, dia mengambil masa untuk mendalami dan memperkukuhkan semangat patrotisme bagi watak tersebut.

“Saya tiada rujukan untuk membawa watak Tahir, tetapi banyak berbincang dengan pengarah dan semua pelakon lain serta tanya juga pada produser yang banyak buat kajian mengenai watak ini.

“Masa awal datang pejabat, banyak dia terangkan dari awal berkenaan watak Tahir. Secara jujur dalam filem ini, pembawakan watak Tahir adalah 70 peratus dan selebihnya adalah diri Nadhir.

“Memang sebelum ini dalam naskah yang lain (drama) saya buat macam itu supaya lenggok dan dialek dalam lakonan itu penonton kenal ia adalah saya yang sebenar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sidang Media Tayangan Perdana Filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah arahan Saiful Reza Shukor di GSC Ioi City Mall Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 2 JANUARI 2024.

Nadhir menambah, dia memilih naskah filem itu kerana mengambil tanggungjawab sebagai pelakon untuk membawa mesej patrotisme kepada generasi yang seusianya.

Katanya, watak Tahir sebagai saintis muda pada era itu juga banyak mengajarnya bagaimana untuk melawan penjajah yang bukan hanya menggunakan tenaga fizikal semata-mata.

“Watak Tahir ini lain, kerana dia percaya ilmu sains boleh mengalahkan pihak lawan bukan hanya dari segi tenaga fizikal tapi pada mental dan akal. Boleh nampak dia buat bom dan sebagainya.

“Saya kira itu antara yang perlu diketengahkan pada generasi sekarang serta pentingya semangat patriotisme pada negara selain menghargai tanah air yang sedia ada dari dijajah.

“Intipati cerita filem ini juga buat saya tergerak hati untuk nak libatkan diri dalam pentas pawagam kerana sebelum in banyak bermain dengan drama jadi saya cabar diri untuk bawa kelainan di sini,” ujarnya.

Filem prekuel kepada Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dan membabitkan kos RM15 juta itu bakal menemui penonton di pawagam pada 11 Januari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast