PUTRAJAYA – Piala Asia 2023 yang akan bermula 12 Januari ini bakal disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, siaran tidak hanya terhad untuk perlawanan melibatkan Harimau Malaya, tetapi juga pasukan-pasukan lain.

“Saya telah dapat pengesahan daripada pihak berwajib kita boleh tonton. Jangan risau pihak kerajaan akan pastikan kita akan dapat tonton perlawanan (bola),” katanya ketika sidang media.

Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon menempa sejarah apabila berjaya melangkah ke saingan Piala Asia secara merit selepas 43 tahun. 

Kejayaan itu selepas Harimau Malaya muncul naib juara ketiga terbaik merentasi enam kumpulan dalam pusingan ketiga kelayakan, tahun lalu.

Kejohanan yang berlangsung di Qatar bermula 12 Januari itu nanti menyaksikan Harimau Malaya telah diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Republik Korea (ranking ke-23 dunia), Bahrain (ranking ke-86 dunia) dan Jordan (ranking ke-87 dunia).

Dilaporkan, Harimau Malaya akan memulakan kempen peringkat kumpulan dengan menentang Jordan (16 Januari) diikuti Bahrain (20 Januari) serta Korea (25 Januari).-MalaysiaGazette