Empat lelaki dan dua wanita diiring anggota polis ke Mahkamah Majistret bagi pendakwaan kes bunuh yang mayatnya ditemui ditanam dalam belukar di Mahkamah Selayang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JANUARI 2024.

SELAYANG – Dua beradik antara lima yang dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki di Kampung Sungai Choh, Rawang, 23 Disember lalu.

Ganong Segaran A/L Gobalan, Malani A/P Gobalan; Devi A/P Sunthar; Saravanan A/L Poomalathayan dan Vikenesvaran A/L Prem Kumar masing-masing berusia di antara 20 hingga 34 tahun didakwa membunuh Ashok A/L Selvaraju, 19,  pada 23 Disember antara 8 pagi hingga 3.30 petang.

Mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang turut dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika disabit kesalahan, semua tertuduh berdepan dengan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun selain tidak kurang 12 kali sebatan.

Empat lelaki dan dua wanita diiring anggota polis ke Mahkamah Majistret bagi pendakwaan kes bunuh yang mayatnya ditemui ditanam dalam belukar di Mahkamah Selayang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JANUARI 2024.

Bagaimanapun tiada pengakuan dibuat di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin.

Dalam masa yang sama, Ganong turut dituduh di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan bersama seorang lagi adiknya iaitu Dandem kerana melupuskan keterangan berkaitan kesalahan menanam mayat.

Jika disabit kesalahan kedua-dua mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Namun, Dandem, 30, mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan.

Mahkamah hanya membenarkan ikat jamin untuk Dandem sebanyak RM5,000 kerana tidak didakwa dengan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakim Mohamad Resedin.

Selain itu, mahkamah telah menetapkan 4 Mac sebagai tarikh serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditanam selepas dibunuh di sebuah rumah di Kampung Sungai Choh.

Hari ini, polis mengesahkan motif kejadian adalah ketidakpuasan hati penyebaran gambar bogel rakan suspek oleh mangsa. – MalaysiaGazette