IPOH – Akibat perselisihan faham, seorang pengusaha kedai aksesori telefon bimbit maut ditikam pekerjanya dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Rasi Jaya, Menglembu di sini hari ini.
Mangsa yang maut dipercayai wanita warga tempatan dikenali sebagai Lee Siew Lean, 49, manakala teman lelaki dan suspek yang juga pekerja mangsa turut cedera dalam insiden itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada pukul 10.55 pagi.
Menurutnya, siasatan awal lokasi mendapati mangsa adalah wanita berusia 49 tahun ditemui telah meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai ditikam oleh pekerjanya.
“Seorang lagi mangsa, yang juga teman lelaki mangsa berusia 42 tahun turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan.
“Seorang lelaki berumur 54 tahun iaitu pekerja yang juga suspek turut mengalami kecederaan telah ditahan pihak polis.
“Kejadian itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham mengenai masalah kewangan antara mangsa dan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, kes ini diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mohd Yusri berkata, semakan awal mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk permohonan tahanan reman.
“Kes ini berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya suspek tersebut.
“Kita akan melengkapkan siasatan kes dan akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” jelasnya.
Difahamkan, sebilah pisau turut ditemui di lokasi kejadian dipercayai senjata digunakan suspek. – MalaysiaGazette