KUALA LUMPUR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam bersetuju untuk menyerahkan kuasa kawal selia bekalan elektrik negeri Sabah dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) kepada Kerajaan Negeri Sabah secara berfasa.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, penyerahan fasa satu telah berkuat kuasa sejak semalam manakala fasa seterusnya pula dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun dan dijangka selesai pada 2030.

“Keputusan ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha kerajaa persekutuan untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963,” kata kementerian tersebut menerusi kenyataan.

Jelasnya, kerajaan negeri Sabah boleh melaksanakan perancangan dan pembangunan pembekalan elektrik dalam tempoh pemindahan kuasa.

“Walaupun demikian, kerajaan persekutuan bersedia untuk bekerjasama dan membimbing sekiranya pihak Sabah memerlukan bantuan dan khidmat nasihat daripada Kerajaan Persekutuan,” tambahnya.

Sehubungan itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berharap supaya kerajaan negeri berkenaan komited menangani masalah gangguan bekalan elektrik di Sabah sekali gus memenuhi peningkatan permintaan elektrik.

Semalam, kerajaan Sabah semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pengambilalihan kuasa kawal selia tenaga dan bekalan elektrik oleh kerajaan negeri daripada kerajaan persekutuan.

Kemudian, RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2004, RUU Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan RUU Bekalan Elektrik 2024 diluluskan dengan undian suara terbanyak.- MalaysiaGazette