Nga Kor King (empat dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan reka bentuk pembinaan Pasar Awam Bukit Mertajam di Ibu Pejabat MBSP Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM784 juta bagi melaksanakan projek prasarana awam di seluruh negara tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu meningkat sebanyak RM84 juta berbanding tahun lalu bagi memastikan rakyat menikmati prasarana awam dengan selesa.

“KPKT telah mencipta sejarah tahun lalu apabila berjaya melaksanakan 5,196 projek menerusi peruntukan RM700 juta yang mana ia merupakan rekod tertinggi kementerian.

“Tahun ini, menerusi kelangsungan kecemerlangan kementerian KPKT akan membelanja RM784 juta dan ia adalah satu peningkatan yang mendadak.

Nga Kor Ming.

“Misi saya adalah untuk menyempurnakan 50,000 projek prasarana awam dalam tempoh 10 tahun iaitu dua penggal pilihan raya supaya rakyat dapat betul-betul menikmati dan melihat perubahan positif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini hari ini.

Terdahulu, Kor Ming menyampaikan hadiah kepada peserta pertandingan reka bentuk pembinaan Pasar Awam Bukit Mertajam, Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).

Pasar Awam Bukit Mertajam itu merupakan pasar awam pertama dibangunkan semula dengan reka seni bina yang dipilih meneruskan pertandingan yang disertai arkitek bertauliah.

Pembinaan pasar itu melibatkan peruntukan berjumlah RM24 juta dan dijangka siap 2026 selain bakal menjadi mercu tanda baharu Pulau Pinang.

Pada majlis itu, Kor Ming memaklumkan pihaknya turut memperuntukan RM110 juta dana khas tahun ini bagi usaha menaik taraf dan membina semua pasar-pasar awam seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan pasar awam yang dikenal pasti untuk proses menaik taraf.

“Kita harap mulai hari ini, mana-mana pembinaan semula pasar awam baru yang berskala besar seperti kompleks pasar Bukit Mertajam ini akan mengamalkan modus operandi yang sama iaitu kita akan buat pertandingan secara terbuka.

“Bayangkan 10 tahun akan datang pasar-pasar awam di Malaysia semua akan mempunyai ciri yang sendiri yang istimewa, menarik dan juga berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kor Ming memaklumkan, pihaknya juga akan mengkaji untuk meneruskan pertandingan mereka seni bina bagi projek perumahan rakyat (PPR) di seluruh negara.

“Kita akan berbincang dengan pengurusan tertinggi kementerian mengenai perkara ini dan keputusan mengenainya akan dibuat dalam tahun ini.

“Kita perlu mengkaji kebolehlaksanaan konsep ini kerana PPR membabitkan rumah strata bertingkat dan penelitian dari keselamatan sangat diperlukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast