KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) persatuan bola sepak sebuah negeri merupakan antara empat yang direman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah lebih RM6 juta.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, perintah reman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar bermula hari ini hingga Ahad ini.

Menurutnya, keempat-empat suspek lelaki yang berusia antara 40 hingga 60 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.00 hingga jam 6.30 petang semalam ketika hadir ke pejabat suruhanjaya itu di Kedah bagi memberi keterangan.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, wang lebih RM6 juta berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun sebuah persatuan bola sepak.

“Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan kerana membantu seorang pemilik sebuah syarikat untuk mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di sebuah negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan tangkapan terhadap keempat-empat suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16a(B) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette