KUALA LUMPUR – Presiden Pas menganggap Kerajaan Perpaduan sekarang seperti anak ayam kehilangan ibu.
Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerana ibunya ke sana ke mari mencari makanan dengan meninggalkan anaknya sehingga boleh disambar helang yang sentiasa mencari peluang.
“Bapak ayam pula memang tidak mempedulikan anak kerana sibuk mengejar ayam betina lain,” katanya dalam Minda Presiden bertajuk Gempar Langkah Dubai hari ini.
Dalam sistem demokrasi, menurutnya, perubahan dilakukan oleh rakyat secara langsung melalui pilihan raya atau wakil rakyat yang dipilih mengadakan undi tidak percaya di Parlimen atau menyatakan akuan berkanun (SD) yang mencukupi jumlahnya.
“Bertindak menolak kerajaan yang ada dengan jumlah sokongan yang mencukupi, secara rela hati tanpa diugut atau disogok dengan jawatan mahupun wang atau dengan maksud yang lainnya tanpa rasuah,” ujarnya.
Abdul Hadi juga bersetuju dengan komen wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin berkenaan politik wang dan Langkah Dubai bahawa ia mestilah datang daripada pihak yang mempunyai wang.
Sedangkan, katanya, pihak kerajaan sekarang yang menguasai wang dan dapat mempengaruhi mereka yang mencari segala projek yang menghasilkan kewangan dengan cara yang paling mudah.
“Ada pun pihak pembangkang pula disekat peruntukan yang wajib diberikan bahkan dibekukan perjalanan kewangannya dan juga disita. Pada masa yang sama, pihak yang menyokong pihak pembangkang pula dilakukan sekatan dan disusahkan kerana dianggap menjadi pencabar paling bahaya terhadap kerajaan.
“Kerajaan Madani yang tidak nyata asas tamadunnya telah menubuhkan kerajaan laksana pokok yang reput akarnya sehingga ditakuti ia akan tumbang disebabkan oleh angin yang bertiup perlahan sahaja, apa lagi kalau berlaku taufan dan tsunami,” katanya lagi. – MalaysiaGazette