KUALA LUMPUR – Jenazah wartawan hiburan, Siti Nor Hafiza Kamarudin atau Fiza Kamarudin, 40, yang meninggal dunia di Hospital Charing Cross, London dijangka tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pukul 7.15 pagi, esok.
Berita itu dimaklumkan suaminya, Mohd Roshdi Ramli menerusi WhatsApp yang dihantar kepada keluarga dan rakan terdekat.
Menurut Mohd. Roshdi, beliau bersama dua anaknya akan bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London dengan penerbangan MH0003 pada jam 10.25 pagi waktu tempatan (6.25 petang waktu Malaysia) hari ini.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Kg. Baru sejurus selesai urusan di KLIA untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Raudathul Sakinah, Taman Selasih, Jalan Kl-Karak,” tulisnya ringkas.
Sebelum ini, Allahyarham Fiza disahkan menghembuskan nafas terakhir pada 28 Disember lalu akibat pendarahan dalam otak di Hospital Charing Cross, London, jam 6.30 petang waktu tempatan (11.30 malam waktu Malaysia).
Fiza yang juga editor portal milik KRU Media berada di London bagi menunaikan janji membawa dua anaknya, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8, bercuti selepas ditaja pakej percutian ke lokasi itu.
Percutian ke London adalah hajat terakhir arwah Fiza bagi meraikan anak-anak, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8, berikutan percutian itu sudah lama dirancang. – MalaysiaGazette