IPOH – Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak yang bakal berlangsung 28 Januari ini membuktikan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih kekal utuh dalam menerajui negeri ini.
Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, sepanjang Kerajaan Perpaduan mentadbir kerajaan negeri, fokus dan matlamat utama yang dilakukan adalah untuk membangunkan serta membawa pelaburan masuk ke Perak.
Menurutnya, selain itu, gabungan ini juga komited dalam usaha menyelesaikan masalah-masalah membabitkan rakyat.
“Jadi, untuk meyakinkan rakyat terutamanya dari segi pentadbiran, gabungan-gabungan parti perlu duduk semeja dalam konvensyen ini bagi memaparkan bahawa kami sehati untuk meneruskan mandat yang diterima.
“Oleh itu, cubaan-cubaan di luar sana, khabar angin seolah-olah kerajaan ini tumbang adalah perkara yang tak baik. Sebenarnya semua pihak harus fokus menjadikan negara dan negeri ini kea rah landasan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kaunter Pendaftaran PADU di Pusat Ekonomi Digital Batu 8 Tambun di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohd Azlan berkata, PKR Perak dijangka menghantar 1,500 perwakilan untuk turut sama di dalam konvensyen berkenaan.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir pada konvensyen tersebut.
“Kehadiran perwakilan pada konvensyen itu nanti akan menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap Kerajaan Perpaduan,” jelasnya.
Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan penganjuran konvensyen itu adalah sempena setahun penubuhan kerajaan tersebut.
Menurutnya, konvensyen itu akan dihadiri oleh pemimpin daripada semua parti komponen di dalam kerajaan. – MalaysiaGazette